PADANG BESAR - Jumlah rampasan daun ketum di Perlis bagi tahun ini setakat Julai meningkat 60 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, sebanyak 98,250.10 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM3.93 juta dirampas bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Julai.
Iklan
Iklan
"Peningkatan jumlah rampasan itu adalah hasil usaha berterusan pihak polis melakukan operasi bagi membendung penyeludupan daun ketum di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar selepas program pelupusan barang kes dadah dan ketum siri 2/2020 di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar hari ini.
Sebanyak 30 tan daun ketum dan barang kes melibatkan kes dadah seberat 211.38 gram dianggarkan bernilai RM1.76 juta dilupuskan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.
Surina berkata, pihak polis akan terus memperhebat operasi bagi membendung penyeludupan ketum dan penyalahgunaan dadah.
Katanya, seramai 503 suspek ditangkap dan didakwa di bawah Akta Racun 1952 dan 1,533 suspek ditangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.- Bernama
Artikel Berkaitan