Penggunaan barangan kitar semula curi tumpuan

Iklan
Hasan Ashaari (kanan) bersama juri-juri yang lain melihat dengan teliti hiasan kemerdekaan yang dibuat secara kreatif menggunakan bahan kitar semula di SK Rapat Setia di sini hari ini.

IPOH - Penggunaan barangan kitar semula yang begitu meluas dalam hiasan sempena Hari Kebangsaan pada tahun ini mencuri tumpuan juri Pertandingan Keceriaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak.

HASAN ASHAARI

Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Perak, Hasan Ashaari Abu Bakar berkata, pada tahun ini, pihaknya mendapat 150 penyertaan melibatkan enam kategori utama iaitu pintu gerbang, individu, bangunan, kampung dan taman, sekolah serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Iklan
Iklan

Menurutnya, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tidak menghalang orang ramai untuk turut serta menunjukkan kreativiti masing-masing untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan.

"Sambutan pada tahun ini sangat menggalakkan. Bagi kategori sekolah, kita menerima 70 penyertaan manakala kategori individu seramai 40 orang. Penyertaan bagi kategori PBT juga bertambah pada tahun ini apabila 13 PBT mengambil bahagian.

Iklan

"Persaingan pada tahun ini cukup menarik. Kebanyakan mereka menampilkan kreativiti yang luar biasa menggunakan barangan kitar semula sehinggakan juri sukar untuk membuat keputusan," katanya kepada Sinar Harian selepas ditemui ketika melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Rapat Setia di sini hari ini.

Beliau hadir bersama empat orang juri untuk membuat penilaian terhadap sekolah berkenaan yang menyertai pertandingan tersebut.

Hasan Ashaari (dua dari kanan) bersama juri-juri yang lain melihat dengan teliti hiasan kemerdekaan di SK Rapat Setia di sini hari ini.

Iklan

Hasan Ashaari berkata, secara keseluruhannya pihak juri sangat berpuas hati dengan usaha yang dilakukan oleh peserta-peserta walaupun tempoh yang diberikan sangat singkat untuk menyediakan hiasan kemerdekaan bertemakan Malaysia Prihatin.

Menurutnya, seramai 10 juri terlibat dalam penghakiman untuk pertandingan keceriaan berkenaan melibatkan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Bahagian Komunikasi Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Bernama dan Jabatan Penerangan.

Beliau berkata, pemenang bagi setiap kategori akan menerima hadiah RM3,500 bagi johan diikuti RM2,500 untuk naib johan dan tempat ketiga akan menerima RM1,500.

Katanya, keputusan rasmi dan penyampaian hadiah bagi pemenang tersebut akan diumumkan pada 15 September nanti.