KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan melihat keperluan bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat, tidak semestinya DUN juga perlu dibubarkan.
Bagaimanapun menurutnya, kerajaan negeri bersedia sepenuhnya jika PRU15 dibuat pada bila-bila masa.
"Kita tengok keadaan bila pilihan raya diadakan sebab macam-macam boleh berlaku. Ada yang kata setahun, dua tahun dan tiga tahun lagi barulah PRU diadakan.
"Tapi kalau pilihan raya diadakan tahun ini, insya-ALLAH kita bersedia untuk menghadapinya. Tapi buat masa ini tiada keperluan untuk bubarkan DUN, jadi kita akan terus melaksanakan urusan pentadbiran kerajaan, tetapi dalam masa yang sama kita akan meneliti keadaan dari masa ke masa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembentukan Konsortium antara Ahmad Zaki Sdn Bhd dengan GPQ Sdn Bhd dan MMC Engineering Sdn Bhd dengan P-Excell Management Sdn Bhd bagi Projek ECRL di Primula Beach Hotel, di sini hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas itu mengulas pendirian Kedah yang tidak berhasrat membubarkan DUN sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada PRU15.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, pihaknya melihat tiada keperluan untuk berbuat demikian memandangkan kestabilan politik negeri ditunjangi kerajaan Perikatan Nasional (PN) stabil dan kukuh.
ARTIKEL BERKAITAN: Kedah tidak berhasrat bubar DUN