BATU PAHAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah di kawasan perairan Tanjung Tohor, di sini, awal pagi semalam
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, bertindak atas maklumat awam, bot ronda APMM yang melakukan rondaan dari Batu Pahat ke perairan Muar telah mengesan sebuah bot gentian kaca yang mencurigakan.
"Bot tersebut telah diarahkan untuk berhenti tetapi bot berkenaan terus memecut laju dan tidak mengendahkan amaran secara lisan yang diberikan oleh bot ronda APMM.
"Bot tersebut kemudiannya menuju ke kawasan pokok bakau yang berhampiran dalam usaha untuk meloloskan diri dan suspek telah terjun ke kawasan bakau tersebut lalu meninggalkan bot gentian kaca ditepi kawasan bakau," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, hasil dari pemeriksaan disekeliling bot tersebut, pihaknya mendapati sebuah beg yang mengandungi tiga bungkusan plastik yang disyaki dadah seberat satu kilogram setiap satu.
Katanya ,nilai rampasan barangan tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM150,000 dan bot tersebut telah dibawa ke jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan lanjut dan akan disiasat dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Kami juga telah menyalurkan maklumat kepada agensi penguatkuasa yang lain bagi membantu mengesan dan menangkap suspek yang berjaya meloloskan diri.
"APMM akan sentiasa berkerjasama dengan agensi lain bagi membanteras penyeludupan yang berlaku.
"APMM akan terus menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan Batu Pahat dan menyeru kepada semua komuniti laut agar dapat menyalurkan sebarang kesalahan dilaut dengan menghubungi APMM untukk sebarang kejadian kecemasan," katanya.