SHAH ALAM - Pemuda Pas Pusat yakin blok pembangkang mampu melakar kemenangan dalam PRK Semenyih selepas menang besar pada PRK Cameron Highlands semalam.
Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kejayaan BN di Cameron Highlands adalah satu petanda baik dalam arena politik pembangkang dan jika momentum ini berjaya diteruskan PH akan dapat ditumbangkan lagi dalam PRK yang akan datang.
"Jika momentum ini berjaya diteruskan terutamanya dalam kalangan anak muda serta rakyat yang telah mula sedar akan omongan kosong PH, Pemuda Pas percaya di PRK Semenyih juga PH akan berjaya ditumbangkan sekali lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang kejayaan calon BN Ramli Mohd Noor yang menang dalam PRK Cameron Highlands semalam.
Muhammad Khalil berkata, Pemuda Pas melihat kemenangan BN semalam sebagai gambaran jelas bahawa rakyat telah mula menolak dan tidak yakin terhadap DAP dan PH.
"Calon PH yang tewas dengan mejoriti lebih besar berbanding dalam PRU14 bukti rakyat sudah tidak yakin malah menolak PH terutamanya DAP yang membawa budaya politik melampau.
"Runtuhnya keyakinan rakyat akibat pelbagai janji yang di tabur oleh PH ketika PRU14 sehingga ke hari ini tidak langsung dilaksanakan,” katanya.
Muhammad Khalil memberitahu, kemenangan BN dalam PRK Cameron Highlands juga merupakan tanda positif bahawa rakyat mula memahami muafakat pembangkang yang efektif dan berkesan.
"Ia adalah untuk kepentingan agama, bangsa dan negara di samping menjaga keutuhan Perlembagaan negara serta institusi diraja, disamping memelihara hak dan keharmonian kaum, bangsa dan agama lain di dalam negara,” katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: BN menang, Ramli cipta sejarah Orang Asli jadi MP
ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Hadi: Rakyat menolak politik melampau DAP
PRK Cameron Highlands yang berakhir semalam, Ramli yang merupakan bekas pegawai kanan polis daripada BN menang dengan majoriti 3,238 undi.
Ramli memperoleh 12,038 undi mendahului calon PH, M. Manogaran dengan 8,800 undi serta dua calon Bebas, Sallehuddin Ab. Talib (314) dan Wong Seng Yee (276).
Dengan kemenangan itu, Ramli yang merupakan anak tempatan dan berketurunan Orang Asli mencipta sejarah apabila menjadi Ahli Parlimen pertama daripada keturunan Orang Asli di Dewan Rakyat.
PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Oktober lepas, membatalkan kemenangan calon BN Datuk C Sivarraajh pada PRU14 ekoran berlaku unsur rasuah untuk mendapatkan undi.