KOTA KINABALU - Badan sukarela pilihanraya, Bersih Sabah menyeru semua parti politik yang berhasrat bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dapat menamakan calon yang bersih.
Bersih Sabah dalam kenyataannya hari ini berkata, calon mestilah bebas dari semua tuduhan mahkamah, termasuk rasuah malah turut membuat pengisytiharan aset mereka kepada umum.
Menurutnya, perkara itu perlu disahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum menjelang hari penamaan calon bagi PRN Sabah pada 12 September depan.
"Bersih Sabah juga ingin mengingatkan kedua-dua kerajaan iaitu kerajaan Sabah dan Persekutuan untuk tidak menyalahgunakan sumber awam ketika berkempen.
"Ini kerana, tindakan itu sama seperti menggunakan wang pembayar cukai untuk kepentingan parti mereka sendiri. Harus ada persaingan yang setara untuk semua parti dan calon yang bertanding.
"Kami mengulangi seruan untuk pilihan raya yang bersih, bebas dan adil dan mematuhi semua undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," kata kenyataan itu hari ini.
Kata kenyataan itu lagi, seperti Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini dan Slim, semua pengundi dan parti politik diingatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya,
"Pengundi yang layak diminta keluar memilih bagi memastikan bahawa PRN Sabah kali ini bersih, bebas dan adil dengan memberikan hasil yang dapat dipercayai.
"Untuk memastikan pemantauan pilihan raya berjalan lancar, Bersih Sabah ingin mengajak warganegara berusia 21 tahun ke atas untuk menjadi sukarelawan sebagai pemerhati pilihan raya," kata kenyataan itu.