Inkues Nora Anne: Anjing pengesan kesan 'sesuatu'

Iklan
Simon (kiri) dan Manimaran (kanan) semasa menghadiri prosiding inkues bagi mencari punca kematian remaja Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner hari ini. - Foto Bernama

SEREMBAN - Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu anjing pengesan telah menghidu ‘sesuatu’ di kawasan pokok buluh di belakang rumah penginapan keluarga remaja Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin sehari selepas mangsa dilaporkan hilang pada 4 Ogos tahun lalu.

Dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja itu, anggota Unit Anjing Pengesan (K9) Pusat Latihan Polis (Pulapol) Koperal P D Manimaran, 29, berkata, pokok buluh tersebut terletak kira-kira 50 meter dari belakang Sora House iaitu rumah penginapan mangsa.

Iklan
Iklan

Saksi ke-10 prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja perempuan itu, bagaimanapun, berkata, beliau tidak pasti sama ada anjing jenis German Shepherd itu mengesan bau daripada pakaian milik mangsa atau sebaliknya.

"Ketika membawa anjing saya ke belakang Sora House, anjing itu berhenti di kawasan pokok buluh macam terbau sesuatu di pokok buluh itu yang terletak bersebelahan pagar dan saya kemudian terus menyelit di pagar itu dan membawa anjing saya ke kawasan sebelah pagar lalu mengarahkannya melakukan 'kesan dan cari' di kawasan tersebut.

Iklan

"Anjing saya kemudian terus membawa saya jalan ke depan dan naik turun bukit di luar kawasan The Dusun Resort sehinggalah anjing saya kehilangan jejak bau itu," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nuralis Mat yang juga pegawai pengendali prosiding inkues yang memasuki hari keenam.

Saksi itu yang bertugas di Unit K9 Pulapol sejak Mei 2018, berkata, operasi SAR kedua yang disertainya pada 7 Ogos 2019 turut bertumpu di kawasan sungai di resort tersebut berdasarkan khabar angin yang menyatakan ada orang nampak seorang perempuan mandi di air terjun di situ, namun tiada sebarang penemuan positif diperoleh.

Iklan

Manimaran berkata, operasi SAR pada tarikh tersebut (7 Ogos) juga menyebabkan anjingnya mengalami kecederaan berikutan kawasan laluan pencarian yang agak berbahaya sehingga memaksa beliau memberi haiwan itu rehat selama lima hari.

"Pada 13 Ogos 2019 saya bawa semula anjing saya dan buat pencarian di kawasan sekitar Sora House berdasarkan maklumat yang saya perolehi bahawa ibu Nora Anne percaya anaknya tidak akan pergi jauh dari rumah penginapan mereka namun tiada indikasi positif juga diperoleh oleh anjing pengesan saya," katanya.

Terdahulu, saksi kesembilan prosiding inkues, Sarjan S Simon, 40, anggota K9 dari Ibu Pejabat Polis Daerah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), memberitahu mahkamah, berdasarkan fizikal tubuh badan mangsa, agak sukar untuk remaja itu merentasi kawasan sekitar resort tersebut termasuk lokasi di mana mayatnya ditemukan pada 13 Ogos tahun lalu.

Ini kerana, Simon berkata, beliau sendiri mengalami kesukaran ketika melakukan operasi SAR sehingga beberapa kali tergelincir.

"Kalau berdasarkan kepada fizikal mangsa memang susah nak cross (kawasan yang tiada laluan) saya pun beberapa kali tergelincir...bolehlah nak paksa (rentas) tetapi ia sangat berbahaya," katanya ketika menjawab soalan peguam S. Sakthyvell yang mewakili keluarga Nora Anne.

Saksi itu juga berkata, operasi SAR yang disertai oleh beliau dan anjing pengesannya pada 6, 8 11 dan 12 Ogos tahun lalu tidak membawa kepada sebarang penemuan positif berhubung keberadaan remaja perempuan itu.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di pantai, di sini, kira-kira 60 kilometer (km) di selatan ibu negara.

Mayat Nora Anne ditemukan pada 13 Ogos, berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5km dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berkuasa.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja istimewa itu tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Mahmoonah Aid bersambung esok. - Bernama