Radar perisai Gempita kesan kemasukan PATI

Iklan
Seramai 21 PATI diberkas ketika cuba keluar dan masuk ke negara ini di pesisir pantai Tanjung Lompat, Kota Tinggi, Johor, awal pagi tadi. - Foto Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia

KUALA LUMPUR - Usaha empat tekong membantu 21 pendatang tanpa izin warga Indonesia menyelinap masuk dan keluar dari negara ini gagal apabila mereka ditahan dalam serbuan di pesisiran pantai Tanjung Lompat di Desaru, Johor awal pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Kem Terendak Melaka dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua tekong lelaki bersama 12 lelaki dan sembilan wanita dipercayai pendatang tanpa izin ditahan selepas dikesan radar kenderaan perisai Gempita dan turut dirampas sebuah bot fiber yang digunakan.

Iklan
Iklan

"Pihak kami sebelum itu mengesan pergerakan dua buah bot yang mencurigakan memasuki perairan Malaysia dalam cubaan bagi menurun dan mengambil pendatang tanpa izin ini di pesisir pantai Tanjung Lompat di sini, sekitar jam 4.45 pagi tadi dan mereka ditahan pada 5.40 pagi susulan pengesanan yang dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Seramai 17 daripada pendatang tanpa izin berkenaan didapati hendak pulang ke Indonesia sementara empat lagi baru sahaja tiba di Malaysia.

Iklan
Iklan

Kesemua tekong dan pendatang tanpa izin berkenaan telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya. - Bernama