MQ Technology Bhd (MQTech) telah menandatangani perjanjian dengan pemegang saham Kibaru Manufacturing Sdn Bhd untuk berunding bagi tujuan memperoleh 70 peratus kepentingan di dalam syarikat berkenaan.
Syarikat berpangkalan di Pulau Pinang yang mengeluarkan komponen getah untuk pelbagai industri termasuk industri perubatan.
MQTech dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, Kibaru telah bersetuju untuk mendapatkan bekalan vaksin koronavirus (Covid-19) dari Fosun International Ltd, sebuah syarikat China yang dilaporkan mencatat pendapatan AS$ 20.7 bilion (RM85.8 bilion) pada 2019.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kibaru, Ong Chong Joo berkata, vaksin itu akan diedarkan ke klinik dan hospital di rantau Asean bersama-sama dengan produk pihaknya seperti kit ujian reaksi berantai polimerase (PCR).
"Buat masa ini, Kibaru berhasrat menjual peralatan perubatannya kepada konglomerat gergasi ini dan mendapatkan alat ujian PCR Covid-19 daripada syarikat yang sama,” kata beliau.
Kibaru yang ditubuhkan pada 1996 berkembang dari entiti penyelidikan dan pembangunan (R&D) kecil pada pertengahan tahun 80-an menjadi sebuah pengeluar komponen getah terkemuka di Asia Pasifik.
Kata Chong Joo, banyak kejayaan dan pencapaian teknologi Kibaru yang dikecap selama ini telah mempengaruhi perkembangan dan pertumbuhan industri pembuatan komponen getah.
Menurutnya, Kibaru juga memiliki pengalaman luas bekerja dengan banyak syarikat tempatan dan antarabangsa dalam bidang IT, elektronik, audio-visual, telekomunikasi, automotif, farmasi dan perkakas rumah, antara lain.
Pengarah eksekutif MQTech, Terence Cheah Eu Lee berkata, kit ujian PCR dari Fuson adalah tepat dan dapat menghasilkan keputusan hasil dalam masa satu jam.
"Kami turut merancang untuk menubuhkan pusat ujian-vaksinasi di lokasi strategik di sekitar wilayah Asia," katanya.
MQTech juga dikatakan sedang meninjau peluang meneroka industri sarung tangan perubatan kerana percaya industri berkenaan akan terus menjana keuntungan dalam tempoh terdekat.
Sebelum ini, MQTech dilaporkan muncul sebagai antara calon utama untuk menjadi pemilik baru pengilang sarung tangan getah Latexx Partners Bhd. Pesaingnya adalah Top Glove Corp Bhd.
Latexx Partners yang dinyah senarai dari Bursa Malaysia pada Jun 2013 selepas diambil alih syarikat berpangkalan di Austria ditawarkan pada harga sekitar RM300 juta.
Latexx Partners mempunyai kemudahan pembuatan di Kamunting Industrial Estate di Perak.
Antara anak syarikat Latexx Partners ialah Latexx Manufacturing Sdn Bhd yang berfungsi sebagai pengeluar sarung tangan getah, selain Medtexx Manufacturing Sdn Bhd terbabit dengan perdagangan sarung tangan getah dan penyewaan kilang dan mesin pembuatan sarung tangan.
Selain itu Latexx Partners juga memiliki Total Glove Company Sdn Bhd, syarikat yang merawat dan memproses getah getah asli sarung tangan pemeriksaan dan pembedahan, serta Worldmed Manufacturing Sdn Bhd, yang turut berfugsi sebagai pedagang sarung tangan getah.