LIPIS - [DIKEMASKINI] Seorang pelajar perempuan maut manakala rakannya parah selepas motosikal mereka bertembung dengan lori membawa muatan balak semasa pulang dari sekolah di Kilometer (KM) 14 Jalan Benta-Jerantut di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis,Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kejadian pada jam 2 petang itu menyebabkan Nurin Nadhirah Ikhwan Nassir, 16, dari Kampung Jerangsang, Benta yang membonceng motosikal Honda Ex-5 maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Menurutnya, mangsa merupakan pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Garang Abdul Samad di Kuala Lipis.
"Rakannya Ainnur Shahimie Karim,15, dari Kampung Sungai Damak, Jerangsang yang menunggang motosikal itu cedera parah di kepala," katanya.
Azli berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal dibonceng mangsa cuba memotong sebuah motosikal lain menyebabkan ia masuk sedikit ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori secara berdepan.
"Akibat kemalangan itu pembonceng motosikal telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggangnya cedera parah.
"Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.
"Pemandu lori yang berusia 40 tahun itu tidak mengalami kecederaan," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.