Kudrat wanita pertahan atap warisan Singora

Iklan
Noraini menunjukkan hasil atap yang telah siap diproses di Noraini Atap Bata Singhora, Kampung Pengkalan Baru. - Foto: Bernama

BACHOK - Seni pertukangan rumah terutama dalam peradaban Melayu amat menitik beratkan pemilihan bahan untuk menghasilkan bumbung seperti mana juga pentingnya dalam pemilihan jenis kayu untuk dijadikan tiang seri rumah.

Peralihan zaman turut menyaksikan gaya pemilihan bahan untuk atap berubah-ubah dari tanah liat, pelepah rumbia, zink dan kini plaster siling dan pastinya, pemilihan ini dipengaruhi faktor kos, reka bentuk dan penyelenggaraan dalam tempoh yang panjang.

Iklan
Iklan

Memperkatakan mengenai atap rumah tradisional, sudah pasti atap Singhora berada antara senarai pilihan dan terima kasih kepada trend terkini, pelengkap bumbung berkonsep tradisional yang diperbuat daripada tanah liat itu kini semakin mendapat permintaan di pasaran tempatan.

Antara contoh Atap Singhora yang diguna pakai pada sebuah gazebo di sebuah rumah Kampung Panjang di sini. - Foto: Bernama

Merentasi lima generasi, Noraini Jusoh mengakui permintaan bertali arus daripada pengusaha resort, orang persendirian serta pengusaha seni binaan tradisional berjaya memastikan atap bata terus relevan dalam pasaran hiasan landskap.

Iklan

Menjadi satu-satunya pengusaha atap di Kelantan malah di Malaysia, wanita berusia 52 tahun itu kini mampu berbangga tatkala legasi perusahaan turun temurun itu kini menjadi ‘trend-setter’ kepada penggunaan atap bata itu untuk disuai padankan dengan pasaran seni taman seperti wakaf, gazebo, pagola dan chalet.

"Saya bersyukur sebab banyak usaha dilakukan sekarang dalam memastikan warisan yang berasal dari gabungan seni pertukangan Kelantan dan Wilayah Songkhla, Thailand ini terus hidup.

Iklan

"Daripada puluhan pengusaha, kini tinggal hanya saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pengkalan Baru, Bachok, Kelantan baru-baru ini.

Noraini menyusun atap tersebut dan dijemur sebelum dimasukkan ke dalam tanur di Noraini Atap Bata Singhora, Kampung Pengkalan Baru.- Foto: Bernama

Pernah suatu masa menerima tempahan sehingga 37,000 keping atap bagi satu projek di Sabak Bernam, Selangor, Noraini yang mesra di sapa Kak Ani, teguh mempertahankan teknik penghasilan atap bata secara tradisional yang diwarisinya.

"Memang berhajat hendak mempunyai mesin yang lebih canggih kerana nak tingkatkan pengeluaran. Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kak Ani memang tak menang tangan dan Alhamdulilah, walaupun hanya mempunyai sembilan pekerja, pengeluaran tetap memberangsangkan.

"Tapi, Kak Ani nak kekalkan cara lama sebab bukan hanya mahu generasi sekarang kenal warisan datuk moyang kita, tetapi mempromosikan tempat ini sebagai tumpuan pelancong,” katanya yang mana hasil kerjanya turut menjadi hiasan di Istana Joghra, Banting, Selangor, Masjid Kampung Laut (Kelantan), Tasik Kenyir Resort serta Peladang Agro Resort di Setiu, Terengganu.

Malah asbab pembinaan 29 vila di Terrapuri Heritage Village di Penarik, Terengganu yang menggunakan atap Singhora, Kampung Pengkalan Baru yang menjadi bengkel utama penghasilan atap bata itu mula dikunjungi pelancong sejak empat tahun lepas.

"Bas yang membawa pelancong ke Terrapuri selalu akan singgah di sini untuk memberi peluang pelancong melihat sendiri penghasilan atap yang menghiasi penginapan mereka di Terrapuri. Jadi, amat penting Kak Ani kekalkan warisan seni pembinaan yang berusia ratusan tahun ini," jelasnya.

Kudrat sepasang kaki

Tidak ramai, namun dengan hanya sembilan pekerja wanita berstatus suri rumah dan seorang lelaki sudah cukup memadai bagi menghasilkan 1,000 keping atap dalam tempoh empat jam.

Noraini menyusun atap tersebut dan dijemur sebelum dimasukkan ke dalam tanur di Noraini Atap Bata Singhora, Kampung Pengkalan Baru.- Foto: Bernama

Noraini menjelaskan, sepanjang proses yang bermula seawal jam 8 pagi, bata yang terhasil daripada tanah liat yang diambil di tebing sungai berhampiran, diuli lumat menggunakan mesin khas menjadi ketulan tanah liat lembut.

Bila sudah cukup lembutnya, ketulan tanah liat itu diletakkan di atas acuan yang dipanggil sarang bata dan sinilah bermulanya 'tarian' mengacuan kepingan atap.

"Sambil memampat tanah liat, abu sekam padi dicampakkan ke atas acuan untuk mengelakkan tanah liat daripada melekat pada sarang bata.

"Dengan menggunakan kaki, tanah liat itu dimampatkan sebelum dipotong menggunakan pemotong khas diperbuat daripada dawai dengan saiz ketebalan kira-kira satu sentimeter (sm). Untuk proses ini ia mengambil masa tidak sampai lima minit malah kurang bagi yang berpengalaman," jelasnya.

Usai memampat menggunakan kaki, hasil bata yang masih lembut disusun dan dijemur selama satu jam jika cuaca panas terik dan kemudiannya dibakar.

"Selalunya akan dikumpul dahulu sehingga sekurang-kurangnya 50,000 keping dan untuk mendapatkan jumlah itu, ia mengambil masa kira-kira tiga bulan,” jelas Noraini.

Noraini memijak tanah liat di atas acuan kayu bagi memadatkan atap tersebut di Noraini Atap Bata Singhora, Kampung Pengkalan Baru. - Foto: Bernama

Bagi proses membakar pula, kepingan atap itu akan 'dimasak' selama 15 hari dengan 10 hari pertama menggunakan api kecil dan baki harinya menggunakan api besar dan sepanjang proses ini, Noraini akan mengupah beberapa orang lelaki untuk melakukannya.

Pembakaran dilakukan di dalam relau atau dalam bahasa tempatannya Gok, berbentuk iglu yang diperbuat daripada bata dan tanah yang ditutup rapat sepanjang proses pembakaran.

"Dalam satu-satu masa, Gok ini boleh membakar sehingga 40,000 keping dan pekerja akan bergilir bekerja mengikut saiz api,” jelasnya.

Melengkapkan proses, kepingan atap yang berukuran 12.7 sentimeter (sm) lebar dan 25.4 sm panjang itu akan disejukkan selama 10 hari sebelum dijual dengan harga 90 sen sekeping.

"Ketahanan? Mudah cakap, tuan rumah dah meninggal dunia pun, atap ini insya-ALLAH masih kukuh,” katanya berseloroh sambil menunjukkan sebuah rumah berusia 62 tahun yang menggunakan atap bata bercorak sisik ikan, terletak tidak jauh dari bengkelnya.

Tambahnya, selain penjagaan dan penyelenggaraan yang mudah, rata-rata atap itu mampu bertahan sehingga 80 hingga 90 tahun.

Pertahan warisan melalui teknologi digital

Demi kelangsungan warisan atap Singhora, platform pemasaran dalam talian serta promosi dalam laman media sosial menjadi pilihan Noraini.

"Dulu tak ada teknologi untuk beritahu orang luar. Promosi dari mulut ke mulut, yang tahu, tahulah tentang atap ini.

"Tapi antara tahun 2010 ke 2011, anak perempuan Kak Ani, Norashikin Hassan, 30, yang bekerja di Kuala Lumpur mula membuat promosi secara aktif dalam laman sosial. Alhamdulilah, sangat baik dan terkini, kami dapat projek pemasangan 100,000 keping atap di Ulu Langat, Selangor," katanya.

Malahan, platform e-Kraf Bazar yang diwujudkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) turut merancakkan permintaan atap Singhora terutama sepanjang musim pelaksanaan PKP.

Bahkan bantuan daripada Kraftangan Malaysia sejumlah RM70,000 baru-baru ini termasuk mesin pelumat tanah liat daripada Universiti Malaysia Kelantan melancarkan lagi perusahaan ibu kepada lima cahayamata ini.

"Selain faktor promosi, bantuan kewangan dan alatan, bekalan tanah liat berhampiran sungai air masin yang mencukupi membuatkan saya terus bertahan sehingga kini.

"Sebab itu jugalah, saya membeli beberapa keping tanah di sekitar kampung ini untuk memastikan perusahaan saya ini berterusan.

"Ini bukan untuk saya sahaja tetapi secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan menjana pendapatan sampingan,” katanya.- Bernama