Kestabilan politik kukuh semula ekonomi negara

Iklan
AHMED RAZMAN

Kestabilan politik bagi sesebuah negara amat penting kerana ia memberikan kesan besar kepada ekonomi untuk terus berkembang dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

Justeru, Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pilihan raya lebih awal perlu dilakukan untuk mendapat mandat baharu daripada rakyat.

Iklan
Iklan

SINAR HARIAN: Adakah wajar pilihan raya umum dilakukan dengan segera ?

Ahmed Razman: Penganalisis menjangkakan ekonomi negara akan pulih semula dan pertumbuhan ekonomi tahun depan dijangka positif jika tidak berlaku gelombang kedua pandemik Covid-19 dan vaksin dapat ditemui dalam masa terdekat. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan pertumbuhan Malaysia pada kadar 5.8 peratus dan tahun depan juga merupakan tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-12. Selain itu, Parlimen juga telah meluluskan kenaikan had statutori hutang sehingga 60 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 55 peratus ketika ini dan ia membuka ruang kepada kerajaan untuk berbelanja bagi merancakkan ekonomi. Oleh itu, kestabilan politik sangat penting kepada negara pada masa ini.

Iklan

Apakah kepentingan kestabilan politik dalam negara daripada sudut ekonomi?

Kestabilan politik adalah amat penting dalam merencanakan perancangan ekonomi negara. Hanya dengan mandat yang kukuh, sesebuah kerajaan itu dapat melaksanakan pelbagai dasar dan polisi untuk meningkatkan taraf hidup rakyatnya dan ekonomi negara. Bagi Malaysia, kestabilan politik pada masa kini adalah amat diperlukan kerana beberapa faktor iaitu negara sedang berdepan pandemik Covid-19 yang memerlukan fokus dan kerjasama daripada semua pihak tanpa diganggu dengan perbalahan politik atau lebih teruk lagi, sabotaj atau khianat yang didorong oleh kepentingan politik peribadi. Selain itu, tahun 2021 merupakan permulaan Rancangan Malaysia ke-12 yang amat penting untuk menjadi tapak permulaan rancangan ekonomi Malaysia dalam jangka masa lima tahun akan datang.

Iklan

Pada masa yang sama, negara-negara lain juga sudah mula mengorak langkah menerokai industri dan teknologi baharu untuk menjadi negara yang berdaya saing dan pencorak ekonomi dunia. Justeru kesemua faktor-faktor ini harus diambil serius dan diberi keutamaan. Ianya boleh dilakukan jika kestabilan politik kembali dicapai melalui mandat PRU akan datang.

Apakah yang diharapkan oleh golongan peniaga dan industri terhadap mandat baharu PRU dalam memperkukuhkan ekonomi negara?

Golongan peniaga dan industri mengharapkan mandat baharu PRU akan meneruskan dasar dan polisi masa kini seperti pelan Prihatin dan Penjana yang berterusan memberi bantuan kepada perniagaan seperti bantuan subsidi upah, pinjaman dan geran bersasar serta moratorium pinjaman. Bantuan kepada perniagaan seperti ini harus diteruskan pada tahun hadapan kerana negara kita masih belum benar-benar pulih daripada kemelut ekonomi yang melanda pada masa kini.

Apakah perkara yang perlu diberi keutamaan selepas pilihanraya diadakan nanti khususnya dalam aspek ekonomi?

Selepas pilihanraya, keutamaan yang haru diberi perhatian dan keutamaan adalah meneruskan suntikan fiskal ke dalam ekonomi domestik terutamanya suntikan fiskal langsung kepada individu, isi rumah dan peniaga. Dana untuk pinjaman oleh perniagaan harus ditambah dan proses permohonan untuk mendapatkan pinjaman tersebut juga perlu dipermudahkan dan bersasar kepada perusahaan mikro serta Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) terutamanya dalam kalangan peniaga bumiputera.

Selain itu, moratorium juga harus dilanjutkan tetapi kali ini lebih bersasar kepada yang amat memerlukannya manakala pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)juga harus dikemaskini dengan melantik golongan profesional yang benar-benar layak sahaja. Industri baharu seperti IR4.0 dan ekonomi digital juga perlu diberi keutamaan di samping meningkatkan penguasaan Malaysia di dalam hab halal global.