KAMPUNG KUANTAN -"Alhamdulillah dapat bantuan cermin mata ini kalau tidak, pakai spek beli dekat pasar saja untuk mengaji," demikian luahan penerima bantuan, Salmah Ibrahim, 54.
Penduduk Kampung Teluk Penyamun itu bersyukur kerana terpilih sebagai penerima sumbangan cermin mata anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan DNS Vision and Hearing Services.
Menurutnya, dia dan suami tidak menyangka akan terpilih untuk sesi penyampaian bantuan bersama penerima sumbangan mangsa banjir di Masjid Jamiul Muhammadiah Kampung Kuantan, pagi tadi.
"Kalau nak beli sendiri memang tak mampu sebab harga beratus, kalau nak mengaji atau isi borang tu memang pakai cermin mata yang beli harga RM10 saja sebab rabun dekat.
"Alhamdulillah, LZS beri peluang kepada kami suami isteri dan semoga sumbangan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang," katanya kepada Sinar Harian.
Salmah sebahagian 217 penerima sumbangan cermin mata yang hadir pada majlis penyerahan yang disempurnakan Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Datuk Mohmad Yaacob Ismail.
Majlis sama turut meraikan 15 penerima alat bantuan pendengaran, seorang penerima kerusi roda dan 65 keluarga yang juga mangsa banjir.
Hadir sama, Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Agihan Daerah LZS, Huzairi Ibrahim dan Pengarah Urusan DNS Vision and Hearing Services, Datin Norsham Jani.