TAPAH - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak merasakan populariti yang diraih lewat kebelakangan ini banyak membantu kemenangan BN di Cameron Highlands.
Sebaliknya beliau berkata, 'malu apa bossku' yang merujuk kepadanya itu menjadi fenomena kerana ia dicipta sendiri oleh rakyat.
"Idea ini datang dari rakyat, segalanya termasuklah ciptaan grafik dan t-shirt, bukan saya yang reka...itu sebab ia jadi fenomena sampai meletup-letup.
"Tak kan saya nak kata kerana aura saya, terpulang kepada orang lain buat penilaian," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program walkabout di Pasar Tani Tapah, hari ini.
Menurutnya, kempen yang disertai dalam PRK itu hanya untuk membantu calon berdasarkan kehendak orang tempatan dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Pengarah PRK Parlimen Cameron Highlands.
"Dia yang menentukan sama ada saya patut turun atau tidak, jika tidak mahu saya tak turun, tetapi kalau ada orang hendak baru saya turun," katanya.
Beliau tidak menafikan, kejayaan BN mengekalkan kerusi Parlimen itu adalah sebahagian manifestasi tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan selama memerintah.
"Saya nampak memang rasa tidak puas hati itu ada, saya datang ke Tapah ini pun saya ada terima kertas kecil yang tertulis aduan pasal keadaan di sini.
"Nampaknya bukan di Cameron Highlands saja, tetapi di Tapah pun orang dah rasa tidak puas hati kepada kerajaan," katanya.
Mengulas mengenai PRK Dun Semenyih, Mac depan Najib berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pimpinan kawasan untuk menentukan strategi terbaik bakal dilaksanakan.
"Setiap kawasan itu mempunyai perbezaan, jadi kita akan lihat apa yang patut dilakukan," katanya.
Sementara itu, orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar dan bersalaman dengan Najib yang meluangkan masa lebih satu jam di Pasar Tani Tapah.
Hadir sama, Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan; Adun Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan dan Ketua Umno Bahagian Tapah, Ishsam Shahruddin.