ILTIZAM PDP bantu graduan bumiputera realisasikan impian

Iklan
PDP turut memberi penekanan terhadap aspek pembinaan keyakinan diri melalui latihan secara berkumpulan.

SEJAK ditubuhkan lebih 10 tahun lalu, Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) telah memainkan peranannya sebagai sebuah syarikat ekuiti persendirian (private equity) berkaitan kerajaan dalam meneraju syarikat tempatan di samping membawa agenda ekonomi bumiputera.

Selain itu, Ekuinas melalui ILTIZAM turut aktif dalam membantu graduan bumiputera yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan peluang pekerjaan menerusi ILTIZAM Professional Development Programme (PDP) yang bermula sejak 2012 lalu.

Iklan
Iklan

Difahamkan, sewaktu awal penubuhan program berkenaan, PDP bermula dengan penyertaan sembilan orang graduan berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan.

Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, sehingga kini, seramai 434 graduan telah berjaya menjalani program berkenaan dan mendapat peluang pekerjaan di beberapa syarikat portfolio Ekuinas dan juga rakan kerjasama program tersebut.

Iklan

Katanya, setelah tamat program, kira-kira 85 peratus pelatih berjaya mendapatkan pekerjaan tetap dan pihaknya terus memantau serta membimbing walaupun setelah program tamat sehingga mereka semua memperoleh pekerjaan.

"Kami menyedari ramai graduan bumiputera sukar untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan beberapa faktor antaranya seperti tiada kemahiran-kemahiran diperlukan oleh syarikat dan sebagainya.

Iklan

"Sebanyak 80 peratus daripada mereka yang menyertai program ini ialah generasi pertama yang menerima pendidikan tinggi dalam keluarga mereka tetapi tidak mempunyai tempat untuk mendapatkan nasihat kerjaya. Di situlah pihak Ekuinas memainkan peranan tersebut.

"Jadi menerusi PDP, kami akan memberi latihan profesional sambil bekerja di syarikat portfolio dan rakan kerjasama Ekuinas. Selain itu, kami juga akan memberikan latihan intensif modul kemahiran insaniah bagi mempersiapkan mereka untuk dunia pekerjaan yang sebenar,” katanya kepada Sinar Harian.

Majlis graduasi peserta PDP yang berlangsung pada tahun lalu.

Beliau menjelaskan, Ekuinas akan menyenarai pendek 360 orang graduan setiap tahun yang perlu melepasi beberapa peringkat penilaian dan kriteria ditetapkan sebelum memilih 75 pelatih untuk ditempatkan di syarikatsyarikat yang terlibat.

Hizwani berkata, antara syarat-syarat ditetapkan bagi graduan yang berminat menyertai program itu adalah mereka yang menganggur lebih enam bulan dan daripada golongan kurang berkemampuan.

Menurutnya, pihaknya akan meneliti pelbagai aspek sebelum membuat pemilihan dan bukan hanya berdasarkan pencapaian akademik semata-mata.

"Kami bukan hanya memilih mereka yang terbaik tetapi kami memilih siapa yang lebih layak untuk mengikuti program ini.

"Pelbagai kriteria diambil kira dalam pemilihan pelatih seperti pendapatan isi rumah, orang kelainan upaya (OKU), keluarga kurang berkemampuan dan lain-lain,” katanya.

Sepanjang mengikuti PDP, Hizwani berkata, semua pelatih terlibat akan diberi nasihat dan tunjuk ajar berhubung tips bagi mendapat kerja tetap di syarikat yang akan mereka sertai di bawah program ini.

Selain itu, Hizwani berkata, PDP turut memberi pendedahan kepada pelatih untuk mencari pekerjaan yang berbeza dengan kursus pengajian diikuti mereka semasa di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Ini adalah kerana kami mahukan mereka berdiri sendiri selepas PDP supaya berjaya dunia akhirat,” katanya.

Selain latihan kemahiran profesional, latihan fizikal juga diberikan agar pelatih memahami kepentingan menjaga kesihatan.

Peserta program turut menerima gaji bersesuaian dengan kelulusan dan pasaran iaitu RM2,500 sebulan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan faedah perubatan, sama seperti pekerja tetap, bukan hanya bayaran elaun seperti pelatih semata-mata.

Sementara itu, seorang graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Syamimi Ab Manaf, 29, ketika berkongsikan pengalamannya turut mengakui pernah menganggur selama setahun sebelum mendapat pekerjaan tetap selepas menjalani program PDP.

Katanya, beliau merupakan antara peserta daripada kumpulan keenam yang mengikuti program berkenaan dan ditempatkan di bawah Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS).

"Peluang menjalani on the job training dalam persekitaran profesional dan diberikan kepercayaan menjalankan skop kerja sebenar sebagai seorang eksekutif memerlukan saya melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran.

"Latihan kemahiran insaniah (Soft Skills) dan bimbingan kerjaya (Career Coaching) yang diterima sepanjang PDP banyak membantu untuk mempersiapkan diri saya untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam semua jenis pekerjaan yang ditugaskan oleh majikan,” katanya.

Seorang lagi graduan dari Management Science University (MSU), Ahmad Adli Hamizi Fairus, 25, berkata, beliau pernah menghantar sehingga 200 permohonan pekerjaan sebelum mengikuti PDP dan pernah dipanggil untuk menjalani sesi temuduga namun tidak berjaya.

Ahmad Adli berkata, PDP merupakan satu batu loncatan buat dirinya dan menjadi platform untuk menunjukkan potensi sebenar dimilikinya menerusi program dan latihan yang diberikan.

"Zaman sekarang sangat susah untuk dapatkan kerja dan paling mencabar bagi saya ialah sewaktu tempoh peralihan dari universiti dan pekerjaan.

"Disebabkan itulah, saya sarankan graduan di luar sana mengambil peluang ini dan memohon untuk mengikuti PDP yang ternyata amat membantu dan bermanfaat,” katanya.

Mohon sekarang secara online di https://iltizam.ekuinas.com.my/pdp/ sebelum 30 September 2020. Biar menyesal memohon, jangan menyesal tidak memohon.