POKOK SENA - Seorang pesakit kanser esofagus tahap tiga akan menjalani pembedahan membuang sebahagian ususnya pada 15 September ini selepas imbasan x-ray dilakukan oleh pakar perubatan di Hospital Pulau Pinang.
Sufiza Osman, 40, berkata, beliau sebelum ini memohon untuk melakukan pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kerana berdekatan dengan rumah untuk rawatan susulan namun terpaksa dilakukan di Hospital Pulau Pinang berikutan masalah pandemik koronavirus (Covid-19).
Sufiza yang turut mengakui berasa perit menjalani proses kemoterapi sejak April lalu turut berharap pembedahan yang akan dijalani kurang dari dua minggu itu berjalan lancar.
"Rasa perit selepas empat kali kemoterapi. Selepas pembedahan nanti saya perlu melalui empat proses kimoterapi lagi," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Kuala Lanjut, Pokok Sena.
Terdahulu, Sufiza menerima kunjungan Pengurus Besar Econsave Bahagian Utara, Zamzuri Mansor yang menyampaikan sumbangan keperluan rumah dan dapur melalui Dana Prihatin Econsave bernilai RM1,000.
Suami Sufiza, Azizan Ismail, 47, pula berkata, kos pembedahan isterinya mencecah RM5,000 dan kini beliau perlu memikirkan kos untuk menemani isterinya yang dijangka tinggal di Hospital Pulau Pinang selama dua minggu selepas selesai pembedahan.
Beliau yang mengambil upah menoreh getah di Parit Panjang, Pendang dan memperoleh pendapatan sekitar RM500 sehingga RM700 sebulan berkata, sebelum ini kos menemani Sufiza setiap kali menjalani sesi kemoterapi selama tiga hari dua malam di Pulau Pinang mencecah RM500.
"Banyak belanja diperuntukkan untuk rawatan isteri saya tetapi syukur masih ada pihak dan individu tampil membantu dari segi kewangan dan memberikan kata-kata motivasi," katanya.
Sementara itu, Zamzuri ketika ditemui berkata, beliau mewakili Econsave berharap Sufiza akan cepat sembuh dan sumbangan itu diharap mampu meningkatkan semangat dan motivasi untuk melawan penyakitnya.
Bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan untuk meringankan beban keluarga Sufiza boleh menghubungi pasangan berkenaan di nombor 017-5243037.
Sinar Harian pada 20 Julai lalu melaporkan, kehidupan seorang tukang cuci di HSB Alor Setar, dekat sini berubah sejak Mei 2019 selepas disahkan menghidap kanser esofagus iaitu kerosakan akibat asid dalam perut.