KUALA LUMPUR - Walaupun menyedari risiko yang dihadapi kerana bertugas ketika situasi getir penularan pandemik koronavirus (Covid-19), seramai 200 kakitangan dari jabatan penyelenggaraan, janitasi dan pembersihan serta keselamatan Kumpulan Suria KLCC tetap menunjukkan komitmen yang tinggi demi keselamatan pengunjung.
Jasa ditunjukkan petugas barisan hadapan di Pusat Beli-Belah Suria KLCC, Kuala Lumpur; Alamanda, Putrajaya dan Mesra Mall yang terletak di Kemasik, Terengganu itu amat dihargai syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata, pihaknya meraikan kesemua wira tidak didendang itu dengan jamuan penghargaan di lokasi mereka bertugas.
"Barisan kakitangan ini telah bertungkus-lumus dan berkorban keringat sejak enam bulan lepas sehingga kini bagi memastikan keselamatan pelanggan terjamin selaras dengan usaha mencegah wabak Covid-19," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Beliau berkata, jamuan penghargaan itu diadakan di tempat berbeza iaitu di Restoran Serai bagi kakitangan Suria KLCC, Secret Recipe pula untuk petugas Pusat Beli-Belah manakala petugas di Mesra Mall diraikan di Nandos.
"Kami mengambil inisiatif dalam menzahirkan rasa terima kasih kepada petugas barisan hadapan. Kami memilih untuk menghargai titik peluh mereka yang tidak kurang pentingnya di dalam usaha memerangi Covid-19.
"Mereka adalah pegawai keselamatan, pegawai kebersihan dan sanitasi serta anggota pengemasan, pegawai penyelenggaraan dan penyambut tetamu yang tidak sentiasa menitik berat dan mengawasi setiap pergerakan di dalam kesemua Pusat Beli-Belah Kumpulan Suria KLCC, di samping sentiasa memastikan persekitaran bersih dan selamat untuk semua,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Norhafizi Nasruddin dari Jabatan Keselamatan Suria KLCC berkata, bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya satu tempoh yang mencabar untuk dirinya dan rakan sejawat kerana tidak pernah berdepan situasi seumpama itu sebelum ini.
"Covid-19 merupakan penyakit wabak baru dan pada permulaanya kami runsing memikirkan tahap kerumitan bagi memastikan tahap keselamatan dan sekuriti mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) kerajaan.
"Dengan bantuan teknologi terkini seperti alat pengukur suhu thermal dan
kerjasama jitu dari pihak pentadbiran dan keseluruhan kumpulan, kami seiring dapat memastikan kawalan kerja berada di tahap keselamatan yang tinggi tanpa mengganggu kesejahteraan pembeli,” katanya.
Pengurus Operasi Alamanda, Calvin Tan pula berkata, pihaknya akan terus memastikan kebersihan pusat beli-belah dengan mempertingkatkan frekuensi pembersihan, proses sanitasi dilakukan di setiap tempat mencuci tangan, tombol pintu tandas, di setiap butang lif dan tempat pemegang tangan eskalator.
"Kami berusaha memastikan setiap proses pembersihan dilakukan mengikut SOP yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan semua pihak,” katanya.
Dalam pada itu, Penyelia Keselamatan Alamanda, Mohd Risdi Idris berkata, terdapat seramai 31 pengawal keselamatan di bawah seliaannya dan kesemua mereka akan mematuhi SOP dan memastikan pengunjung turut berbuat demikian demi keselamatan semua pihak.
Dalam pada itu, beliau berharap pengiktirafan dan jamuan penghargaan untuk kakitangan akan diteruskan pada masa akan datang.
Senada dengan Mohd Risdi, Eksekutif Operasi Kebersihan Alamanda, Izzat Harith Azizul Manal berkata, beliau gembira diraikan bersama rakan sekerja yang lain dan akan terus berusaha meningkatkan keyakinan orang ramai untuk berkunjung ke Alamanda.
Siti Aminah dan rakan sekerja dari Mesra Mall yang diraikan turut terharu atas penghargaan yang diterima serta keprihatinan ditunjukkan oleh pihak syarikat.
"Jika titik peluh kami dari jabatan pembersihan dapat memperbaiki keadaan semasa serangan wabak ini, pengorbanan kami sememangnya tidak sia-sia,” katanya.