KUANTAN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelancong warga Finland yang dilaporkan hilang di Pulau Tioman sejak 22 Januari lalu diteruskan hari ini dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Nikitin Aleksis Elis Valtteri, 20, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah kenalan yang ditumpang di Kampung Paya.
Timbalan Pengarah JBPM Pahang, Mohd Sani Harul berkata, kehilangan mangsa dilaporkan rakannya semalam selepas mangsa gagal dikesan.
Menurutnya, operasi SAR melibatkan 17 anggota bomba dibantu lapan anggota polis dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Operasi turut melibatkan bantuan anjing pengesan bagi menjejaki mangsa.
"Pasukan pencarian dipecahkan kepada dua kumpulan untuk gerakan mencari di Kampung Genting melalui trek dan hutanbserta di kawasan air terjun Motherwillow laluan ke Gunung Kajang kira-kira tiga kilometer dari Kampung Paya,"katanya.
Mangsa datang ke Kampung Paya pada 21 Januari lalu sebagai pelancong 'backpacker' dan menumpang di rumah seorang penduduk.
Mangsa menyatakan hasrat untuk ke air terjun Kampung Asah, Mukut sebelum kehilangannya.
Mangsa disedari hilang selepas tidak kembali ke rumah yang ditumpangnya tetapi semua barang-barangnya masih ada di situ.