[VIDEO] Aksi comel pasangan pengantin curi tumpuan

Iklan
Aksi comel Nurasyidah mendukung suaminya mencuri tumpuan ramai.

GOMBAK - Aksi comel pasangan mempelai mencuri tumpuan netizen apabila pengantin perempuan mendukung dan menggendong suaminya sewaktu majlis persandingan di sini.

Gambar pasangan serasi itu tular di laman sosial sejak semalam dan rata-rata netizen terhibur serta memuji pengantin perempuan itu 'sempoi' dan 'sporting'.

Iklan
Iklan

Nurasyidah Mokhtar, 29, memberitahu dia tidak menyangka perkongsian gambarnya bersama suami, Mohamad Farid Alias, 30, yang kini bertugas sebagai tentera di Kem Tentera Syed Sirajuddin Gemas di Instagram mendapat perhatian netizen kerana aksi berkenaan dilakukan sekadar gurauan.

Bercerita lanjut mengenai detik pertemuan mereka, Nurasyidah berkata, hubungan mereka bertaut kembali setelah empat tahun terpisah.

Iklan

"Kami bercinta selama tujuh tahun ketika berusia 16 tahun sehingga tamat pengajian. Kemudian kami membuat haluan masing-masing pada 2015 hingga 2019 kerana waktu itu suami sudah ada pengganti.

"Mulanya, saya ingatkan mesej tersebut dari ibunya dan tak sangka dia menyamar. Sempat juga memberi nombor telefon, maka bermula saat itu, saya dan dia mula berkawan semula sehinggalah kami ke jinjang pelamin pada 30 Ogos lalu," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Jelasnya, ALLAH sudah mengaturkan yang terbaik buatnya dan sememangnya jodoh itu rahsiaNYA.

"Jodoh itu rahsia ALLAH, sekuat mana kita setia, selama mana kita menunggu, kita cuba elak bertemu, tetapi jodoh adalah ketentuan ALLAH. Saya gembira bertemu suami semula.

"Pada peluang kedua ini, kami manfaatkan sebaiknya. Selepas sebulan bertemu, suami melamar saya dan Alhamdulillah, kami sah menjadi suami isteri. Kami mendapat restu dari kedua-dua belah keluarga. Benarlah jodoh itu rahsia ALLAH," katanya.

Dalam pada itu, Nurasyidah mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang tidak putus mendoakan kebahagiaan mereka setelah gambar pengantin mereka tular di laman sosial.

"Saya bersyukur dan gembira kerana ramai yang memuji malah menjadikan kisah kami sebagai inspirasi dan percaya ketentuan ALLAH SWT.

"Mungkin ramai wanita berfizikal besar kurang yakin tetapi percayalah, jika kita sayangi diri sendiri kita mampu lakukannya dan tampil positif.

"Saya juga tidak pernah kecil hati apabila ada yang mengecam saya, biarlah mereka nak kata apa sekali pun, yang penting saya bahagia bersama suami," katanya.