KUANTAN - Tindakan tegas akan dikenakan kepada peniaga yang gagal menjaga suhu makanan mentah untuk dijual sehingga tercemar dengan kandungan histamine.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, tindakan itu dicadangkan bermula tahun depan secara berperingkat.
Beliau berkata, setakat ini hanya teguran dan peringatan diberikan kepada peniaga bagi mendidik mereka mematuhi Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983.
Menerusi peraturan itu, makanan basah terutama ikan untuk dijual perlu disimpan pada suhu 0 hingga 10 darjah celsius.
"Melalui pemantauan dilakukan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mendapati terdapat peniaga gagal berbuat demikian apabila tidak meletakkan ais pada ikan dijual ketika diperiksa.
"Apabila tidak menggunakan ais, sudah tentu ikan-ikan itu terdedah kepada suhu melebihi kadar ditetapkan, sekali gus mendedahkan makanan itu kepada bakteria yang boleh menyebabkan ia tercemar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Pahang 2020 di Pasar Sejahtera Ikan Segar Beserah di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah JKNP, Datuk Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah.
Norol Azali berkata, kepentingan keselamatan makanan di pasar basah khususnya makanan yang diuruskan secara segar perlu diberi perhatian semua pihak bermula di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.
"Berdasarkan rekod, sebanyak 38 kes makanan tercemar dengan kandungan histamine dikesan di negeri ini dalam tempoh 2018 hingga kini.
"Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding enam kes pada 2018 kepada masing-masing 16 kes untuk 2019 dan sehingga Ogos tahun ini,” katannya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya tindakan penguatkuasaan lebih tegas diambil mengikut peruntukan perundangan sedia ada yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
"Bagaimanapun sebelum tindakan ini dilaksanakan, beberapa perkara perlu diberi perhatian termasuk keperluan bekalan ais yang mencukupi untuk kegunaan peniaga.
"Setakat ini terdapat 18 kilang ais berlesen seluruh negeri. Kita perlu lihat kepada kemampuan bekalan sama ada mencukupi atau sebaliknya. Sekiranya tidak mencukupi, kita kena cari jalan untuk mengatasinya” katanya.