CHERTSEY - Seorang bayi pramatang yang dilahirkan pada usia 23 minggu disifatkan ajaib setelah mampu bertahan untuk hidup meskipun kulitnya begitu nipis hingga menampakkan saluran darah.
Diberi nama Millie oleh ibunya, Tiffany, 32, dan bapanya, Matthew, 30, dari Chertsey, England, bayi ajaib dilahirkan pada 26 April tersebut ditempatkan di dalam inkubator dan dibantu alat pernafasan, lapor Mirror.
Tiffany berkata, setelah lima minggu di inkubator, Millie berjaya menempuhi saat kritikal.
"Kami tidak percaya dia masih hidup. Millie begitu kecil dan pernah terhenti pernafasan pada usia dua hari. Semasa dilahirkan beratnya kurang dari sekampit beras terdapat lubang besar di hatinya.
"Namun kini, kesihatannya menunjukkan perkembangan positif dan boleh pulang ke rumah," katanya.
Berkongsi pengalaman, Tiffany memberitahu, anak pertamanya, Ruby turut mengalami kelahiran pramatang pada usia 24 minggu namun telah meninggal dunia.
"Berdasarkan pengalaman anak pertama, kami sudah bersedia untuk menyambut kelahiran anak kedua ini.
"Tetapi tidak menyangka anak kedua turut mengikut jejak kakaknya yang lahir lebih awal pada usia 23 minggu," katanya.
Jelasnya, berita kehamilan pada Disember 2019 adalah khabar gembira buat dia dan suami setelah empat tahun menunggu cahaya mata kedua.
"Saya alami sindrom ovari polisistik memberi kesan kepada kesuburan. Namun selepas menerima rawatan, saya berjaya hamil secara semula jadi dan sangat gembira.
"Selepas 16 minggu hamil, doktor memberitahu kemungkinan anak kami akan lahir lebih awal. Ternyata sangkaan doktor tepat, Millie lahir pramatang," katanya.
Dalam pada itu, kehilangan Ruby menguatkan lagi pasangan ini untuk menempuh dugaan tersebut.
"Trauma memang ada tetapi kami yakin boleh atasi. Millie juga telah selamat menjalani pembedahan pada hatinya dan semakin kuat.
"Kami sentiasa positif untuk melihat Millie terus sihat, berat badan juga sudah bertambah kepada hampir 3 kilogram, dia kelihatan luar biasa," katanya.