ALOR GAJAH - Dua pelajar tingkatan lima cedera parah manakala seorang lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dol Said, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, mangsa terlibat ialah pelajar Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin, iaitu Muhammad Iman Zarif Mohamad Zulaizam,17, dan Nur Amanina Azman serta Nur Adibah Salleh yang juga berusia 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dol Said.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan, Arshad Abu berkata, dalam kejadian itu, motosikal ditunggang oleh Nur Adibah dan dibonceng oleh Nur Amanina baru keluar dari kawasan sekolah dan membelok ke arah Bandar Alor Gajah.
Bagaimanapun menurutnya, Muhammad Iman Zarif yang menunggang motosikal Honda EX5 yang datang dari arah bertentangan menghala ke Kelemak gagal mengelak motosikal dua pelajar berkenaan.
"Pelajar lelaki tersebut tidak dapat mengelak dan terus melanggar mereka berdua. Akibat pelanggaran itu kesemua mangsa tercampak ke laluan bertentangan," katanya.
Tambahnya, mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan dan kenderaan mereka ditahan untuk pemeriksaan Puspakom.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987.