Tiada kompromi pengusaha bot abai keselamatan pengunjung

Iklan
Ariffin (dua dari kanan) bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tiga dari kanan) ketika majlis pelancaran Kampung Budaya Terengganu di Muzium Negeri, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri memandang serius isu pengunjung yang mendakwa terpaksa bersesak di dalam sebuah bot tanpa jaket keselamatan yang ditularkan oleh seorang pengguna di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, Jabatan Pelancongan Negeri telah mengambil tindakan berhubung isu itu serta telah bertemu dengan pengusaha bot berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pertemuan itu dilakukan setelah terdapat dakwaan bahawa pengusaha terbabit tidak tidak membekalkan jaket keselamatan serta membiarkan pengunjung menaiki bot dalam jumlah yang ramai.

"Kita memandang serius perkara ini. Kita amat kesal dengan perkara ini kerana isu melibatkan tidak memakai jaket keselamatan ketika menaiki bot adalah sangat bahaya.

Iklan

"Sebenarnya kita juga terkejut dengan apa yang berlaku dan Jabatan Pelancongan telah bertemu serta telah mengarahkan pengusaha berkaitan supaya tidak mengulangi lagi perkara sebegini,” katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran Kampung Budaya Terengganu di Muzium Negeri, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini yang dimuat naik oleh seorang pelancong yang mendakwa tidak dibekalkan jaket keselamatan ketika menaiki bot untuk ke Pulau Kapas.

Iklan
Gambar dimuat naik seorang pengguna di media sosial Facebook yang mendakwa terpaksa bersesak di dalam sebuah bot tanpa jaket keselamatan.

Sementara itu, Ariffin berkata, isu itu berlaku disebabkan peningkatan mendadak pengunjung menyebabkan lebihan penggunaan peralatan keselamatan.

"Bila kedatangan ramai pelancong kita hadapi masalah lebihan penggunaan. Sebenarnya isu sama bukan sahaja berlaku di Pulau Kapas tetapi semua pulau kerana kita menerima kedatangan pelancong yang begitu ramai.

"Insya-ALLAH, kita akan berbincang mengenai masalah yang berlaku di pulau-pulau di negeri ini. Dalam masa terdekat kita akan ke pulau termasuk di Pulau Perhentian untuk lihat sendiri keadaan di sana,” katanya.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial memuat naik kenyataan mendakwa tidak mendapat layanan memuaskan terutama melibatkan soal keselamatan ketika menaiki sebuah bot untuk ke Pulau Kapas.

Selain tidak menyediakan jaket keselamatan, katanya, bot yang dinaiki juga dilihat melebihi kapasiti yang sewajarnya.