Batu nisan yang ditemui mungkin dari Kampung Duyong: Pesawad

Iklan
Khalid menunjukkan sebahagian dari batu nisan jenis batu laterit yang terdapat di Kampung Duyong di sini.

MELAKA - Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad) tidak menolak kemungkinan penemuan lebih 10 pasang batu nisan di Lorong Bukit Ranting, Kampung Bukit Duyong, di sini Khamis lalu ada kaitannya dengan beberapa projek pembesaran jalan dan pembinaan Hang Tuah Centre sebelum ini.

Pengerusi Pesawad, Khalid Hussin mendakwa terdapat ribuan kubur lama di sekitar Duyong yang dipercayai sudah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka berusia lebih 500 tahun yang menggunakan batu jenis laterit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebahagian daripada kuburan itu telah lenyap dan mungkin dialihkan ekoran memberi laluan bagi projek-projek pembangunan berkenaan.

"Timbul tanda tanya ke mana perginya sebahagian batu-batu nisan berkenaan sedangkan banyak kawasan pembangunan dan pembesaran jalan di situ asalnya adalah kuburan lama.

Iklan

"Saya hendak persoalkan ke mana pihak kontraktor terbabit letakkan kesemua batu-batu nisan laterit berkenaan selepas selesainya semua projek-projek itu. Adakah mereka letakkan di satu tempat atau mereka buang begitu sahaja?," katanya.

Melaka 12

Jelasnya lagi, Kampung Duyong telah lama wujud dipercayai sejak tahun 1400 lagi ketika era Kesultanan Melayu Melaka malah, pahlawan Melayu terkenal, Hang Tuah turut berasal dari kampung terbabit.

Iklan

"Bapa Hang Tuah, iaitu Hang Mahmud mula membuka perkampungan ini sejak tahun 1440 lagi, justeru tidak mustahil ramai kaum kerabatnya yang dikuburkan di sini.

"Harapan saya, agensi terlibat seperti Perzim (Perbadanan Muzium Melaka) dan Jabatan Warisan dapat membuat penandaan terhadap kuburan lama terbabit kerana biarpun tiada bukti hitam putih mengatakan sesetengah kuburan itu milik pembesar tertentu tetapi sekurang-kurangnya ia diperolehi dari bukti mulut orang lama-lama.

Tambahnya, antara kubur pembesar negeri yang didakwa terdapat di Kampung Duyong seperti Bendahara Tun Perak, Tun Kudu, Tun Puteh, Tun Matang, Tun Kajang, Tun Kola, Tun Bahru dan Hang Nadim.

Salah satu jalan yang melalui fasa pembesaran.

Sinar Harian Khamis lalu, melaporkan terdapat lebih 10 pasang batu nisan termasuk sebahagiannya diperbuat dari batu laterit yang dipercayai digunakan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, ditemui dalam keadaan berselerak di Lorong Bukit Ranting, Kampung Bukit Duyong, di sini.

Ia ditemui oleh seorang penduduk ketika sedang membersihkan kawasan tanah semak di hadapan rumahnya bagi persediaan untuk mengadakan majlis kenduri perkahwinan anaknya.

Dalam pada itu, Khalid turut menawarkan kesemua batu nisan yang ditemui itu ditanam semula di satu kawasan kuburan lama berhampiran rumahnya di Kampung Duyong.