PRU15 yang dijangka sepi

Iklan
PRU14 lalu menyaksikan tumbangnya BN iaitu parti yang dianggap sebagai antara kerajaan tertua di dunia yang memerintah Malaysia selama lebih 60 tahun.

PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018 menjadi titik tolak kepada perubahan landskap politik dan demokrasi di Malaysia.

Selepas tumbangnya Barisan Nasional (BN) iaitu parti yang dianggap sebagai antara kerajaan tertua di dunia yang memerintah Malaysia selama lebih 60 tahun, demokrasi negara kini menuju ke satu fasa baharu.

Iklan
Iklan

Banyak peristiwa penting yang tidak pernah terjadi telah berlaku buat pertama kalinya dalam fasa ini. Pertukaran Perdana Menteri selepas insiden ahli Parlimen melompat parti beramai-ramai dan penggantian Speaker Dewan Rakyat di tengah-tengah sidang adalah antara satu catatan sejarah.

Kini Malaysia dijangka menempuh satu lagi sejarah baharu yang penting jika ia benar-benar terjadi. Sejak kelmarin, khabar angin politik bertiup kencang tentang kemungkinan PRU15 hanya berlangsung di peringkat Persekutuan.

Iklan

Ini berikutan enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan telah memberi bayangan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tidak bersama-sama dalam PRU15. Hanya DUN Perak semalam yang mengambil pendirian berbeza untuk menyertai PRU15.

Ketidakseragaman tersebut memberikan pelbagai implikasi di mata rakyat terutamanya di Semenanjung memandangkan sejak 60 tahun lalu, sudah menjadi amalan pilihan raya umum melibatkan pemilihan wakil Parlimen dan DUN secara serentak.

Iklan

Hanya Sabah dan Sarawak tidak mengikuti amalan tersebut dalam kebanyakan PRU atas pelbagai faktor terutamanya kerana ia menyertai Persekutuan Malaysia selepas tahun 1963.

Yang pasti ‘mandat dan kuasa’ adalah dua perkataan yang menjadi punca kepada situasi yang dilihat sesetengah pihak sebagai politik cacamarba ketika ini.

"Apa gunanya adakan pilihan raya kalau anda rasa akan kalah. Maksudnya, keputusan parti politik atau kerajaan negeri kini sebenarnya atas pertimbangan kuasa dan politik.

"Tetapi ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana telah kerap berlaku di Sarawak dan Sabah apabila pilihan raya negeri diadakan berasingan dengan PRU,” ulas pemerhati politik dari Sarawak, Dr Jeniri Amir.

Jeniri Amir

Katanya, walaupun ada sesetengah pihak mungkin melihat tindakan beberapa negeri tidak mahu bersama-sama dalam PRU seolah-olah tidak memikirkan implikasi kewangan, namun realitinya, inilah demokrasi.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula menambah, ketidakseragaman keputusan parti politik dalam menuju PRU15 sememangnya ada kaitannya dengan tsunami politik Malaysia sejak beberapa tahun ini.

Konsensus

Katanya, jika dulu banyak negeri dikuasai BN yang memudahkan konsensus di peringkat pusat dan negeri, namun hari ini pentadbiran di negeri lebih pelbagai.

"Walaupun ada yang berada di bawah Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH), ada pecahan lagi ada negeri diketuai BN, ada dipimpin Bersatu, ada Pas, ada PKR dan DAP. Jadi keputusan untuk bersama atau tidak dalam PRU15 banyak bergantung kepada strategi politik kenegerian masing-masing.

"Ada negeri yang rasa kerajaan negeri terlalu lemah, kalau buat pilihan raya mereka akan menang dan kembali stabil. Tetapi ada pula negeri yang rasa sudah terlalu kukuh, jadi tidak perlu pilihan raya lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Azizuddin

Bagaimanapun, akuinya, setiap negeri mempunyai hak untuk tidak bersama-sama dalam PRU kerana pembubaran DUN terletak di tangan Menteri Besar atau Ketua Menteri yang akan membawa usul tersebut kepada Sultan atau Yang di-Pertua Negeri.

"Penentu kepada pilihan raya di peringkat Persekutuan ialah Perdana Menteri, manakala penentu pilihan raya negeri adalah hak Menteri Besar atau Ketua Menteri. Kedua-duanya ada hak prerogatif,” katanya yang mengakui keputusan enam negeri tersebut adalah tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin pula menegaskan bahawa hanya satu sebab tiga negeri yang dipimpin oleh Pas iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak akan membubarkan DUN iaitu keadaan politik yang stabil di negeri berkenaan.

Khairil Nizam Khirudin

"Faktornya ringkas. Ia adalah disebabkan kestabilan politik yang ada di negeri tersebut. Jumlah kerusi yang sedia ada juga tidak membimbangkan. Tempoh memerintah juga masih ada,” katanya.

Bagi pemimpin pembangkang pula, kerajaan negeri mempunyai hak sendiri sama ada untuk membubarkan DUN atau tidak.

Perkara itu diakui oleh Ahli Parlimen Kulai daripada DAP, Teo Nie Ching yang menegaskan kerajaan negeri masih ada tempoh untuk memerintah selepas berakhirnya PRU14 pada 2018.

Teo Nie Ching

"Mereka ada hak untuk memilih masa yang sesuai untuk mereka mengadakan pilihan raya. Mereka ada tempoh masa lima tahun,” kata Nie Ching.

Pada 6 Julai lalu, PH membuat ketetapan negeri yang ditadbir gabungan itu iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan turut serta dalam pilihan raya umum jika diadakan sebelum tamat penggal ini.

Selain kerajaan negeri mempunyai hak sendiri, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berpandangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan membubarkan Parlimen kerana tidak mahu menjadi Perdana Menteri yang paling singkat dalam sejarah politik Malaysia.

Mahfuz Omar

Tegasnya, tindakan beberapa negeri di bawah pentadbiran PN seperti Kedah, Kelantan, Terengganu membuat pendirian untuk tidak membubarkan DUN akan menjadi pendorong buat Muhyiddin untuk tidak membubarkan Parlimen dalam tempoh terdekat.

Melainkan, tegasnya, BN membuat pendirian keluar atau tidak lagi menyokong PN.

"Apa yang berlaku pada hari ini UMNO hanya mendesak Muhyiddin membubarkan Parlimen tetapi UMNO tidak bersedia untuk berundur daripada terus memberikan sokongan terhadap Muhyiddin. Sebab UMNO tidak mahu dipersalahkan, UMNO mahu yang membubarkan Parlimen ialah Muhyiddin sendiri,” katanya.

Info PRU di Malaysia.