KUANTAN- Sebanyak 63 anak penyu jenis Agar dilepaskan di Pantai Chendor, semalam oleh Kelab Penunggang Harley Davidson Muafakat Malaysia/Harley Davidson Riders Club Malaysia (HDRCM) sempena Hari Kebangsaan ke-63.
Pengerusinya, Lokman Abdul Latiff, 49, berkata, program kali pertama itu diadakan dengan kerjasama Rimbun Dahan yang terlibat dengan aktiviti penetasan reptilia tersebut di Pahang.
Iklan
Iklan
Menurutnya, rata-rata ahli kelab begitu teruja kerana pertama kali berpeluang melihat lebih dekat anak penyu seterusnya melepaskannya ke laut.
"Saya bercadang menjadikan program melepaskan anak penyu sebagai acara tahunan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, dalam pada itu program bermotosikal yang dianjurkan adalah untuk memupuk semangat kerjasama, selain mengutamakan disiplin serta meningkatkan kemahiran di kalangan penunggang terutama secara konvoi.
Sementara itu, seorang peserta, Yusaida Yusof, 46, berkata, sambutan hari kemerdekaan tahun ini begitu bermakna dan bertuah buatnya dan suami, Mohd Khaiazir Shahari, 45 apabila berpeluang melepaskan anak penyu ke laut dan berharap aktiviti berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang.
"Ancaman musuh menyebabkan peratus anak penyu hidup dan membesar begitu rendah. Selepas ini saya bercadang membawa keluarga menyertai aktiviti melepaskan anak penyu yang dianggap unik dan seronok," katanya yang menetap di Shah Alam, Selangor.