MELAKA - Seorang jurutera mesin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini terhadap pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual ke atas anak kandungnya pada Jun dan Julai tahun ini.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang berusia 44 tahun didakwa atas pertuduhan merogol dan melakukan cubaan rogol terhadap mangsa yang berusia 13 tahun di Taman Limbongan Permai pada pertengahan Jun hingga Julai lalu.
Iklan
Iklan
Pertuduhan di bawah Seksyen 376(3) dan Seksyen 376 (B)/511 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan tidak kurang dari sepuluh sebatan jika disabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga pula, bapa kepada lima orang anak itu didakwa melakukan amang seksual dengan cara menunjukkan video seks kepada mangsa pada pertengahan Jun lalu.
Kali ini pertuduhan di bawah Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau keduanya-keduanya jika sabit kesalahan.
Hakim, Elesabet Paya Wan membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan. Sebutan kes pula ditetapkan pada 5 Oktober depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad sementara tertuduh diwakili peguam, Nor Farah Amirah Mohd Azlan.