SHAH ALAM - Pengguna di Selangor terpaksa menanggung derita ekoran gangguan bekalan air sejak semalam angkara tindakan pemilik sebuah kilang jentera berat yang dipercayai menjadi punca pencemaran di Sungai Gong.
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, kilang tersebut dipercayai tidak mengendalikan proses penyelenggaraan jentera berat itu dengan baik sehingga menyebabkan minyak mengalir ke longkang sekali gus mengakibatkan pencemaran di sungai itu.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, pihak berkuasa membuat keputusan untuk menghentikan operasi di kilang berkenaan sehingga pihak terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"Semasa mereka membuat penyelenggaraan jentera berat itu, minyak dipercayai mengalir ke dalam longkang dan menyebabkan pencemaran berlaku di Sungai Gong," katanya dalam kenyataan menerusi video yang dimuat naik Media Selangor, hari ini
Dalam pada itu, Loy Sian berkata, ini merupakan kali kedua kilang itu terlibat dengan insiden pencemaran sungai tersebut memandangkan kejadian pertama pernah berlaku sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.
Menurut Loy Sian, pihaknya berharap pengguna terjejas dapat bersabar dengan insiden ini memandangkan langkah bagi mengatasinya sedang giat dilaksanakan.
"Kita dah ambil beberapa langkah dan letakkan activated carbon di kedua-dua belah bahagian kilang ini untuk sekat aliran minyak terus ke Sungai Gong," katanya.