Ajak swasta bantu lonjak pelancongan Perlis

Iklan
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) menerima cenderahati daripada wakil konvoi.

ARAU - Pihak swasta harus memainkan peranan lebih aktif dan sentiasa berada di hadapan untuk membantu memasarkan produk pelancongan di Perlis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, terdapat pelbagai inisiatif pakej pelancongan yang boleh dilaksanakan pihak swasta bersesuaian dengan norma baharu dalam melonjakkan semula industri pelancongan Perlis.

Iklan
Iklan

Baginda bertitah, aspek penyenggaraan dan kerja-kerja menaik taraf fasiliti pelancongan sedia ada atau membangunkan fasiliti baru hendaklah turut diberi perhatian semua pihak.

"Ini termasuk aspek promosi juga perlu digiatkan. Kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri amat penting untuk memberi nafas segar dalam meningkatkan lagi sektor pelancongan negeri yang berpotensi tinggi," titah baginda.

Iklan

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian selepas berkenan berangkat melepaskan rombongan Jelajah Merdeka Old Frees - Fortis Atque Fidelis 2020 di pekarangan Galeri Di Raja Arau.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan bergambar kenangan bersama peserta konvoi merdeka yang tiba di Arau sebelum meneruskan misi ke Kelantan.

Hadir sama Penyelaras Program, Ivan Ooi Jieun Vei.

Iklan

Sementara itu Ivan berkata, seramai lima bekas pelajar Sekolah Menengah Penang Free yang sinonim dengan panggilan ‘Old Frees’ pelbagai bangsa diketuai Ravin Trapshah Ismail menyertai siri jelajah yang bermula 27 hingga 31 Ogos, dari Kuala Lumpur melalui semua negeri Semenanjung Malaysia bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-63.

Antara tempat persinggahan termasuk Sekolah Menengah Penang Free bagi memberikan penghormatan kepada Pengetua yang bersara selain Arau, sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan.

Tiga generasi pemerintahan Jamalullail di Perlis merupakan alumni sekolah Inggeris tertua di rantau Asia Tenggara itu iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra (1937-1939), Tuanku Syed Sirajuddin (1956-1959) dan Tuanku Syed Faizuddin Putra (1983).