Pemilik bangunan dicadang beli tanah Medan Imbi

Iklan
Khalid Abd Samad

PUTRAJAYA - Beli tanah adalah antara solusi yang dicadangkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad dalam menyelesaikan isu pencerobohan dua lot tanah kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang.

Beliau berkata, pemilik bangunan komersil yang dibangunkan di atas tanah itu perlu membeli tanah tersebut atau yang keduanya kemungkinan besar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merampas bangunan itu.

Iklan
Iklan

Katanya, namun perkara ini akan dimuktamadkan dengan mengadakan rundingan dengan pihak terbabit bagi mencari penyelesaian terbaik dalam isu tanah ini.

"Pemilik bangunan telah menghantar surat kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan PTG pun menghantar surat kepada Datuk Bandar dan Kementerian Wilayah untuk mencari jalan penyelesaian.

Iklan

"Penyelesaian adalah sama ada tanah dan bangunan menjadi pemilik yang sama, atau pemilik bangunan membeli tanah atau pemilik tanah mengambil alih bangunan itu," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran program Placemaking@ Jejak Sisiran ( Re-discovery City Trail ) di Presint 1 di sini hari ini.

Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas status isu pencerobohan dua lot tanah itu yang dikatakan terdapat unsur salah laku dan penyalahgunaan kuasa dalam memberi kebenaran merancang untuk membina struktur kekal di atas tanah terbabit.

Iklan

Pada 16 Jan, Khalid dilaporkan berkata siasatan dalaman Jabatan Integriti DBKL mendapati kedua-dua tanah itu iaitu Lot 568 merupakan milik Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan manakala Lot 716 adalah hak milik Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Ketua Setiausaha Negara.

Khalid berkata dua lot tanah seluas 0.14 hektar (16,000 kaki persegi) itu pada asalnya adalah taman permainan dan kawasan lapang yang dipenuhi pokok-pokok tetapi kini dibangunkan dengan sebuah bangunan pejabat enam tingkat serta gerai buah-buahan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan walaupun pihaknya mencari penyelesaian secara holistik, ini tidak bermakna pemilik bangunan itu boleh bebas daripada kesalahan membina bangunan tanpa membeli tanah itu dahulu serta mendapatkan perintah pembangunan.

"Pembina bangunan itu akan dikenakan bayaran denda atau saman, serta diambil tindakan jenayah kalau wujud unsur rasuah. Kita mahu siasatan bagaimana sebuah bangunan itu dibina tanpa ada perintah pembangunan," katanya. - Bernama