Lagi pawagam asing tempat duduk bukan mahram

Iklan
Tangkap layar mengenai penguatkuasaan zon pengasingan tempat duduk di TGV Mesra Mall di Kemaman bermula kelmarin.

KUALA TERENGGANU - Selepas Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu, sebuah lagi pawagam iaitu TGV Mesra Mall di Kemaman turut melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki dan wanita bukan mahram serta keluarga bermula kelmarin.

Perkara itu dikongsikan pemilik rangkaian pawagam di Malaysia itu melalui status yang dimuat naik di laman Facebook rasminya semalam.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, penguatkuasaan pengasingan tempat duduk itu dibuat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

"Pelaksanaan ini hanya akan dikuatkuasakan di lokasi ini sahaja. Kami berharap anda dapat mematuhi segala syarat-syarat dan kerjasama anda amat dihargai,” katanya.

Iklan

Berdasarkan garis panduan yang ditetapkan, penonton lelaki dan wanita beragama Islam yang bukan mahram tidak dibenarkan duduk bersebelahan.

Tempat duduk pengunjung pawagam terbabit diasingkan mengikut warna iaitu zon wanita berwarna merah jambu, zon lelaki (biru) manakala zon keluarga (kuning).

Iklan

Individu atau pasangan yang berkeluarga pula akan ditentukan menerusi kad nikah atau dokumen berkaitan pernikahan dikemukakan kepada staf bertugas.

Katanya, orang ramai diminta menyemak terlebih dahulu sebelum membuat pembelian tiket supaya tidak timbul sebarang kesulitan.

Terdahulu, LFS Cinemas Kuala Terengganu yang beroperasi di Paya Bunga (PB) Sentral menjadi pawagam pertama melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki, wanita dan keluarga bermula 3 Julai lalu.

Pengurus LFS Kuala Terengganu, Mohd Zulmajdi Razali berkata, pelaksanaan peraturan baharu itu dikuatkuasakan mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.