ISU lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini bukan lagi satu isu baharu.
Masalah ini mendapat perhatian apabila ada warga asing di negara ini terutama yang berstatus pelarian bertindak tidak mengendahkan undang-undang terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan bagi memerangi pandemik Covid-19.
Keadaan itu mendesak kerajaan untuk melaksanakan Ops Benteng bagi mengekang PATI daripada menyusup masuk ke dalam negara melalui lorong tikus sama ada melalui jalan darat mahupun air.
Isu PATI berkait rapat dengan jenayah pemerdagangan manusia serta penyeludupan migran yang menjadi dua perkara berbeza.
Ketua Penolong Pengarah (D3) Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pemerdagangan manusia bermaksud segala perbuatan yang melibatkan pemerolehan atau pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui paksaan dan termasuklah perbuatan merekrut, mengangkut, memindah, melindungi, menyediakan atau menerima seseorang bagi maksud eksploitasi.
Menurutnya, terdapat enam jenis eksploitasi iaitu seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan, pengabdian, aktiviti yang menyalahi undang-undang dan pemindahan organ manusia.
"Di sini maksudnya ia mesti ada perkataan paksaan dan juga untuk tujuan eksploitasi. Bila tiada elemen eksploitasi bermakna tiada kes pemerdagangan. Selain itu, mangsa juga turut boleh melibatkan warga tempatan.
"Sebagai contoh, kes wanita warga Filipina bekerja sebagai pelacur di Sarawak. Bertindak atas maklumat, kita telah melaksanakan operasi menyelamatkan wanita berkenaan dan kes disiasat di bawah ATIPSOM. Dalam siasatan itu rupanya mereka tidak dikurung, malah mereka boleh berhubung dengan keluarga dan datang ke sini sebagai pelancong dan memang sebelum ini telah bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO). Bila ada masalah dengan majikan, dia mengadu kepada keluarganya dan keluarga mengadu pula pada konsulat sebelum kepada pihak polis.
"Setelah disiasat, mereka hanya mahu dihantar pulang ke negara mereka. Benda begini tidak termasuk dalam kes pemerdagangan kerana ia tiada unsur paksaan. Bila tidak timbul paksaan itu kita terpaksa serahkan wanita terbabit untuk tindakan Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.
Fadil berkata, bagi maksud penyeludupan migran pula ia tidak boleh berlaku dalam negara dan mesti melibatkan rentas sempadan melibatkan mereka yang masuk atau keluar secara tidak sah melibatkan bukan warganegara dan bukan permastautin tetap.
Isu global
Tambahnya, ATIPSOM adalah satu isu global kerana ia melibatkan kes rentas sempadan dan pelanggaran hak asasi manusia selain membawa kepada kesan politik, ekonomi dan sosial.
"Apa yang berlaku jika PATI masuk? Akan berlakunya lambakan PATI, masalah jenayah sosial dan kebimbangan kemasukan kluster Covid-19 selain mencetuskan masalah hubungan dua hala dengan negara lain,” katanya.
Menjawab persoalan mengapa kes etnik Rohingya tidak disiasat sebagai pemerdagangan manusia sebaliknya disiasat di bawah penyeludupan migran, beliau memberitahu, ini disebabkan etnik terbabit yang dikenal pasti masuk ke dalam negara secara sukarela tanpa paksaan.
"Mereka rela ditangkap, ditahan, diberi makan dan saringan Covid-19 juga dilakukan. Mereka rela daripada tinggal di negara mereka dengan kelaparan dan terseksa,” katanya.
Beliau berkata, pencerobohan PATI kebiasaannya menggunakan laluan darat dan laut dengan dibantu oleh individu yang berperanan sebagai tekong.
Katanya, tekong ini berperanan untuk menguruskan bot atau laluan darat.
"Tekong ini akan memastikan keadaan laluan atau tempat mendarat selamat daripada pihak berkuasa. Apabila keadaan sesuai, PATI akan bergerak yang kemudiannya akan dibantu beberapa ahli sindiket lain untuk menyorokkan PATI di rumah tumpangan sementara atau seumpamanya.
"Siasatan kita mendapati PATI yang hendak masuk ke dalam negara akan dikenakan bayaran oleh tekong dengan harga sekitar RM700 hingga RM1,500 malah ada yang mencecah RM3,000.
"Terbaharu, taktik sindiket sudah mula menggunakan bot nelayan untuk menyeludup PATI kononnya bagi menyukarkan polis mengesan mereka,” katanya.
Katanya lagi, jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran merupakan jenayah yang berbentuk opportunis dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tidak mengira warganegara.
Menurut Fadil, kumpulan jenayah terancang bermaksud satu kumpulan, dua orang atau lebih yang bertindak bersama dengan tujuan melakukan satu atau lebih kesalahan serius dengan tujuan mendapatkan secara langsung atau tidak langsung faedah material, kuasa atau pengaruh.
Katanya, kesalahan serius menunjukkan satu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan bagi satu tempoh 10 tahun atau lebih.
"Jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran boleh diklasifikasikan sebagai jenayah terancang kerana jenayah ini dianggap sebagai satu jenayah bersindiket,” katanya.
Mengulas lanjut, dalam usaha mengatasi jenayah itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan teguh memperkasakan Akta ATIPSOM 2007 dalam usaha membanteras kegiatan haram itu.
"Antara tindakan yang diambil adalah risikan di mana segala maklumat yang diperoleh akan dikaji untuk mengenal pasti perincian risikan, modus operandi, proses pelaksanaan sebelum, semasa dan selepas selain mengambil kira aspek keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) agensi penguatkuasaan.
"Selain menyelamatkan mangsa pemerdagangan manusia, polis juga melaksana tangkapan, siasatan serta pencegahan. Polis bertindak serius dalam siasatan jenayah terancang. Ia juga melibatkan tindakan di bawah prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Bila siasatan ATIPSOM yang ada mengesan wujudnya elemen mempunyai tujuan bertindak sebagai organisasi dan lakukan sekurangnya satu kesalahan serius, dia boleh disiasat di bawah SOSMA termasuk tahanan selama 27 hari,” katanya.
Tambahnya, ini terbukti di mana sebelum ini pihaknya telah berjaya menuduh kesemua suspek yang terlibat dalam sindiket termasuklah dalang, tekong, penjaga rumah mahu pun pihak berkuasa yang bersekongkol.
"Selain itu, kita juga menggunakan Kanun Keseksaan, POCA, Akta Imigresen, Akta Pasport 1966 dan Akta Kerja,” katanya.
Tegas Fadil, PDRM tidak berkompromi dengan sesiapa sahaja yang melakukan jenayah ini termasuk penjawat awam.
Kerjasama
Katanya, PDRM juga menjalankan kerjasama dan penyelarasan agensi penguat kuasa antaranya Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam perkongsian maklumat untuk mengenal pasti kawasan jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.
"Antara operasi yang sedang giat dilaksanakan adalah Ops Benteng.
"Oleh kerana siasatan kes ATIPSOM melibatkan jenayah serius, pucuk pimpinan PDRM telah mengeluarkan garis panduan dalam penyiasatan supaya setiap kes hendaklah dijalankan secara telus dan berkualiti. PDRM turut tetapkan sasaran berapa banyak kes ATIPSOM dilaksanakan bagi memastikan operasi bergerak secara agresif.
"PDRM tidak akan bertolak ansur dalam kuatkuasakan tindakan undang-undang ini. Tindakan ini berterusan dan ditambah dengan Covid-19, ia dilipat gandakan bagi mengekang masalah PATI,” katanya.