SHAH ALAM - Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan ketidakupayaan PH mengungkapkan wawasan masa hadapan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia adalah kelemahan terbesar.
Ini antara faktor yang menyebabkan pakatan itu tewas dalam PRK Cameron Highlands semalam.
Menurutnya, PH masih belum menunjukkan kepada rakyat Malaysia mengapa mereka harus mengundi kita, untuk ekonomi yang lebih saksama dan inklusif buat semua.
"Kelompok B40 dan M40 di Malaysia tidak boleh hidup berdasarkan kata-kata manis semata-mata, mereka memerlukan faedah yang boleh diukur.
"Kita harus menjadikan Buku Harapan sebagai panduan. Meskipun kita tidak boleh melaksanakan sepenuhnya dasar-dasar dalam manifesto, ia seharusnya menggambarkan falsafah yang memberi tumpuan kepada rakyat secara keseluruhan dan bukan kelompok yang kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Nazmi berkata, beliau juga sangat kecewa apabila isu perkauman digunakan semasa tempoh berkempen di PRK Cameron Highlands.
"Penggunaan retorik perkauman oleh pihak tertentu semasa kempen amat mendukacitakan. Pihak berkuasa yang berkaitan perlu menyiasat dan mengambil tindakan tegas jika dakwaan tersebut terbukti benar.
"Pengundi Malaysia mesti bertanya pada diri sendiri, adakah negara atau mana-mana komuniti mendapat pembelaan sewajarnya dengan tindakan keji dan tidak bermoral sedemikian.
"Bagaimanapun, akhirnya, tanggungjawab utama untuk kekalahan kali ini terletak pada PH,” katanya.
Nik Nazmi memberitahu, PH memerlukan naratif jelas untuk meyakinkan rakyat bahawa kita masih layak untuk kekal berkhidmat sebagai kerajaan.
"Ia adalah mesej yang mesti didokong oleh semua. PH akan gagal jika kita tidak bercakap dengan satu suara. Kita perlu mula menunjukkan prestasi kepada rakyat, terutamanya dari segi ekonomi.
"Ini semua lebih penting kerana jelas bahawa Umno dan Pas kini telah"berkahwin"."percintaan" mereka kini telah dimanifestasikan ke dalam pakatan penuh,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR menambah, Umno dan Pas kini pada asasnya satu dan sama, keputusan di Cameron Highlands harus mendorong PH untuk bekerja lebih keras, terutamanya dengan PRK Semenyih semakin hampir.
"Jelas, keputusan PRK Cameron Highland bukanlah apa yang diharapkan oleh PH dan penyokong kita. Ia adalah keputusan rakyat dan kita mesti menghormati pilihan mereka.
"Saya berharap kita seluruh warga PH, tidak tunduk kepada tekanan dan mendapat kekuatan baru,” katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN : BN menang, Ramli cipta sejarah Orang Asli jadi MP
ARTIKEL BERKAITAN : Abdul Hadi: Rakyat menolak politik melampau DAP
PRK Cameron Highlands yang berakhir semalam, Ramli yang merupakan bekas pegawai kanan polis daripada BN menang dengan majoriti 3,238 undi.
Ramli memperoleh 12,038 undi mendahului calon PH, M. Manogaran dengan 8,800 undi serta dua calon Bebas, Sallehuddin Ab. Talib (314) dan Wong Seng Yee (276).
Dengan kemenangan itu, Ramli yang merupakan anak tempatan dan berketurunan Orang Asli mencipta sejarah apabila menjadi Ahli Parlimen pertama daripada keturunan Orang Asli di Dewan Rakyat.
PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Oktober lepas, membatalkan kemenangan calon BN Datuk C Sivarraajh pada PRU14 ekoran berlaku unsur rasuah untuk mendapatkan undi.