KUANTAN - Dua pemandu wanita maut selepas kereta dipandu mereka terbabit kemalangan di Kilometer 164, Jalan Kuantan - Kemaman di sini petang semalam.
Mangsa, Mohd Sharfizza Hashim, 43, dan Tan Mong Eng, 74 kedua-duanya dari Kemaman, Terengganu dipercayai meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang berhampiran Kampung Kubang Ikan itu akibat kecederaan parah di kepala.
Dua anak Mohd Sharfizza yang bertugas sebagai guru, Muhammad Zakwan, 14, cedera di kepala dan dada manakala Nur Zahraa Aisyah, 10 patah kaki.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, siasatan awal mendapati Mohd Sharfizza memandu kereta jenis Nissan Almera dari arah Kemaman menghala ke Kuantan.
"Tan Mong Eng yang bekerja sebagai penyelia sebuah pusat asuhan kanak-kanak memandu kereta jenis Toyota Vios dari arah bertentangan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu wanita warga emas itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dinaiki tiga beranak itu," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba sebelum dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.