SHAH ALAM - DAP masih mengadakan perbincangan dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi memutuskan penggunaan logo pilihan raya yang akan digunakan kedua-dua parti itu menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sabah.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu sudah bertemu dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebanyak dua kali sebelum ini bagi membincangkan perkara itu.
Menurutnya, sebarang keputusan dicapai kedua-dua parti itu akan diumumkan pada masa bersesuaian.
"Kami sedang menunggu masa sesuai untuk membuat satu pengumuman (berkenaan penggunaan logo pilihan raya).
"DAP tidak akan membuat sebarang pengumuman berasingan," katanya kepada media dalam satu sesi sembang 'kedai kopi' di Likas, Sabah sebagaimana dilaporkan akhbar The Star hari ini.
Mengenai isu pembahagian kerusi antara blok pembangkang, Guan Eng turut menjelaskan akan membincangkan perkara itu bersama Mohd Shafie dan rakan pakatan politik mereka.
Menurutnya, DAP akan meneruskan sokongan terhadap Mohd Shafie dan Warisan kerana parti itu percaya Ketua Menteri Sabah itu mampu memacu landskap politik negara ke hadapan.
"Kami mahu menghentikan amalan 'lompat parti' dan semua parti yang menyokong budaya itu.
"Shafie akan menjadi harapan negara bagi membersihkan politik kotor di Malaysia," katanya.
Terdahulu, Parti Amanah Negara (Amanah) mengumumkan calon-calon parti itu akan menggunakan logo Warisan bagi menghadapi PRN Sabah yang dijangka bermula 26 September ini.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda sokongan terhadap kedudukan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.
Bagaimanapun, satu lagi rakan politik mereka dalam Pakatan Harapan (PH), Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan untuk menggunakan logo pilihan raya parti itu sendiri.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti itu ada menerima beberapa cadangan guna satu logo, tetapi PKR akhirnya memilih menggunakan logo parti sendiri.
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang Parlimen itu memberi jamin akan mengadakan rundingan bersama Mohd Shafie untuk pembahagian kerusi pilihan raya lebih adil.