KOTA BHARU - Jumlah penerima zakat dan sumbangan dari majlis agama Islam negeri di seluruh negara dijangka bertambah sekali ganda berikutan pandemik koronavirus (Covid-19).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata, pandemik Covid-19 turut diramalkan memberi kesan kepada jumlah kutipan zakat di negeri tertentu.
Bagaimanapun katanya, jumlah kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) bertambah dengan mengumpulkan lebih RM95 juta untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.
"Selain zakat, majlis agama negeri mempunyai inisiatif masing-masing. Bantuan dari kerajaan sebagaimana diumumkan akan diteruskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya kepada pemberita hari ini selepas merasmikan majlis penutup Program Santuni Komuniti Masyarakat Sejahtera peringkat negeri Kelantan di Masjid As-Salam Pengkalan Chepa hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Abdul Aziz Jusoh, Imam Besar Maik, Muhamad Hana Pizi Abdullah dan Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jakim, Aziz Mohamad.
Sementara itu, mengulas mengenai program, Ahmad Marzuk berkata, kerajaan akan terus memperluaskan Program Santuni Komuniti Masyarakat Sejahtera selepas diadakan di Wilayah Persekutuan, Pahang dan Kelantan.
Menurutnya, program tersebut akan diteruskan ke seluruh negara secara berperingkat dan destinasi seterusnya ialah Perlis.
"Kita mendapati program ini sangat positif khususnya membentuk jalinan kerjasama antara agensi persekutuan dan negeri.
Majlis tiga hari anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Maik itu turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga asnaf terpilih.