SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Program ‘Bekwoh Sugho Anok Kelate 2020’ yang berlangsung di pekarangan Kumpulan Karangkraf di sini hari ini mendapat sambutan menggalakkan apabila dianggarkan lebih 1,500 anak-anak Kelantan yang berada di Lembah Klang menyertainya.
Program berkenaan merupakan anjuran Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim Malaysia (Pakatan).
Pengerusi penganjur, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, program yang mendapat kerjasama daripada Kumpulan Karangkraf dan persatuan serta badan bukan kerajaan (NGO) Anak Kelantan di Lembah Klang itu bertujuan merapat dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan antara anak-anak Kelantan di Lembah Klang.
Menurutnya, walaupun ia dianjurkan dan diusahakan anak-anak Kelantan, namun penyertaannya turut diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira negeri, bangsa dan agama ke arah penyatuan serta perpaduan dalam menyemarakkan semangat merdeka.
"Kita sebenarnya mahukan semua yang menyertai program ini dapat memahami konsep merdeka dan semangat bersatu pada dalam semua hal.
"Pelbagai program yang telah diatur sepanjang program ini berlangsung bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang dengan aktiviti mengacau bubur asyura, persembahan kebudayaan, dikir barat, pemeriksaan mata dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui selepas mengacau bubur asyura sebentar tadi.
Muhammad Nasir yang juga Timbalan Presiden Pakatan berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penglibatan 34 NGO, sekali gus memeriahkan lagi program kali pertama yang diadakan secara bersama itu.
Pada program itu juga, katanya, sebanyak 25 kawah bubur asyura berjaya diusahakan secara bersama dengan penglibatan semua yang hadir berbanding sasaran awal 20 kawah.
"Melihat kepada sambutan yang menggalakkan ini, kami telah sepakat untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan dan berlangsung di sini (Karangkraf).
"Mungkin pada penganjuran akan datang kita akan melibatkan lebih ramai penyertaan dengan pelbagai lagi aktiviti,” katanya.
Muhammad Nasir yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf bagaimanapun berkata, setiap pengunjung yang hadir perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.
Katanya, pengunjung perlu mendaftar dengan mengimbas kod QPR sebelum menyertai program berkenaan selain suhu badan turut diambil di pintu masuk.
"Kita turut memastikan setiap pengunjung perlu memakai pelitup muka sepanjang berada di sini serta menyediakan pencuci tangan dan memastikan penjarakan fizikal.
"Kita berharap setiap pengunjung dan peserta program ini dapat mengikuti segala arahan yang telah ditetapkan dalam usaha memastikan keselamatan bersama,” ujarnya.
Majlis penutup program tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Dr Noor Zari Hamat.