SHAH ALAM - Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tan Sri Rafidah Aziz menggesa agar hukuman lebih tegas diambil terhadap pihak yang mencemarkan sungai dan menyebabkan gangguan bekalan air di negara ini.
Menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini, Rafidah meminta pihak bertanggungjawab mengatasi punca permasalahan tersebut agar tidak berulang.
"Sekali lagi, pencemaran dilakukan oleh pihak industri. Semestinya kita kini sudah ada petugas khas melibatkan pihak berkuasa air, kerajaan tempatan dan kementerian untuk membuat pemantauan berterusan.
"Sepatutnya sudah ada hukuman tegas yang berkesan terhadap pihak yang bertanggungjawab. Sudah ada siasatan segera untuk menutup semua kelompongan yang membolehkan pesalah mengulangi kesalahan mencemarkan air sehingga menjejaskan orang ramai," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekalan air pulih di empat daerah
Bekalan air dijangka pulih secara berperingkat
1,292 kawasan di Lembah Klang alami gangguan bekalan air
Pagi ini, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan empat loji rawatan air (LRA) yang terlibat dengan pencemaran dan pemberhentian operasi sejak kelmarin mula beroperasi malam tadi. Bagaimanapun, ia memerlukan masa sehingga 10 jam sebelum bekalan air boleh pulih sepenuhnya.
Mengulas lanjut, Rafidah turut mengkritik dengan mendakwa terlalu banyak perkara yang tercemar di Malaysia dan mempersoalkan mengapa Malaysia masih berdepan isu gangguan air.
"Begitu banyak perkara yang tercemar dan menjadi toksik di Malaysia. Politik, pentadbiran, alam sekitar, dan air yang kita minum. Kenapa?
"Ada kerajaan ke di Malaysia ini?" Soalnya.