JOLO - FILIPINA. Angka korban insiden letupan berkembar di sebuah gereja Katolik di selatan Filipina hari ini meningkat kepada 27 orang.
Menurut pihak berkuasa, letupan pertama berlaku pada sekitar jam 8.45 pagi (waktu tempatan) di ruangan dalam Gereja Our Lady of Mount Carmel di Pulau Jolo yang terletak di wilayah Sulu.
Letupan kedua menyusul beberapa minit kemudian di kawasan letak kereta gereja yang sebelum ini turut pernah menjadi sasaran serangan bom.
Laporan mengatakan sejumlah 20 orang awam dan tujuh anggota tentera terbunuh, manakala 77 yang lain cedera, terdiri daripada 14 anggota tentera, dua anggota polis dan 61 orang awam.
Sementara itu, beberapa mangsa yang cedera diterbangkan ke bandar Zamboanga untuk mendapatkan rawatan dan pihak tentera kini dilaporkan menutup jalan utama menuju ke gereja terbabit.
Insiden berlaku beberapa hari selepas undian yang meluluskan kewujudan Wilayah Autonomi Bangsamoro di kawasan majoriti Muslim di selatan Filipina, namun pengundi di wilayah Sulu menolak keputusan tersebut.
Referendum berkenaan adalah hasil rundingan damai antara kerajaan dan gerakan Moro Islamic Liberation Front (MILF). - BBC
ARTIKEL BERKAITAN: Letupan berkembar di gereja Filipina ragut 19 nyawa