KINABATANGAN - UMNO Sabah telah memuktamadkan 90 peratus senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu bermula penghujung bulan ini.
Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya dijangka akan mengumumkan senarai penuh calon bertanding pada minggu hadapan.
Iklan
Iklan
"Buat masa ini saya belum boleh memberitahu senarai calon namun kira-kira 90 peratus senarai sudah dimuktamadkan.
"Pengumuman calon kita jangka akan dibuat pada 8 atau 9 September nanti,” katanya pada sidang akhbar sempena Program Mini Karnival Kerjaya Peringkat Kinabatangan di sini hari ini.
Bung Moktar juga dijangka akan bertanding bagi merebut satu kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang iaitu kerusi DUN Lamag yang terletak di dalam Kawasan Parlimen Kinabatangan.
Sehingga kini, belum ada mana-mana parti politik yang sudah mengumumkan senarai calon pilihan raya menjelang PRN Sabah.
Pada PRN Sabah, sebanyak 73 kerusi DUN Sabah akan dipertandingkan selepas DUN negeri itu dibubarkan 30 Julai lalu.