KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang pemandu kereta jenis Volvo yang melawan arus sehingga melanggar kereta Perodua Myvi di Jalan Klang Lama di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, lelaki berusia 35 tahun itu disahkan positif dadah selepas menjalani ujian air kencing di Balai Polis Jalan Bandar.
"Kita menjalankan siasatan berhubung kes itu dan berjaya mengenal pasti identiti dua pemandu kenderaan.
"Mereka kemudian hadir ke balai polis berkenaan pada jam 12 tengah hari dan 11 pagi tadi untuk membuat laporan," katanya melalui kenyataan media hari ini.
Zulkefly berkata, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan itu secepat mungkin untuk diserahkan kepada pendakwa raya bagi tindakan susulan.
"Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Semalam, satu rakaman video berdurasi satu minit yang tular di media sosial memaparkan pemandu kereta Volvo itu melanggar bahagian hadapan Perodua Myvi berwarna hitam.
Susulan kejadian itu, seorang wanita dipercayai penumpang Perodua Myvi menjerit sebelum beberapa penunggang motosikal membantu dan menghalang tindakan pemandu Volvo berkenaan.