Muhammad Taib terkenang kerjaya pertama

Iklan
Muhammad ketika ditemu bual wartawan Sinar Ahad di kediamannya di Shah Alam kelmarin.

"SAYA dan abang memilih untuk bekerja bagi membantu keluarga selepas tamat alam persekolahan,” kata bekas Menteri Besar Selangor ke-11, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ketika membuka bicara mengenai kisah hidupnya kepada Sinar Ahad di kediamannya di Seksyen 7, Shah Alam kelmarin.

Anak kedua daripada sepuluh adik-beradik itu mengakui usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila ada dalam kalangan adik-beradiknya yang lain berjaya memasuki universiti sehingga menjadi doktor, jurutera dan cemerlang dalam bidang masing-masing.

Iklan
Iklan

Menceritakan pengalaman kerjaya pertamanya, bapa kepada 11 orang anak itu berkata selepas menamatkan peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE), dia kemudiannya melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Harian di Kuala Lumpur dan mula mengajar pada 1964.

"Sekolah pertama saya ditugaskan mengajar adalah Sekolah Kebangsaan Felda Gedangsa, Hulu Selangor iaitu di kawasan kampung saya sendiri.

Iklan

"Walaupun baru bergelar guru tetapi saya tidak ada masalah untuk mengajar kerana arwah bapa saya adalah seorang guru besar dan saya banyak belajar daripadanya. Malah murid-murid sekolah tak banyak kerenah pada masa itu,” katanya.

Pemimpin yang sentiasa tenang dan tidak lokek dengan senyuman itu berkata, beliau seorang yang suka berdikari dan sentiasa ingin maju dalam pelajarannya sekali gus mendorongnya untuk mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) secara persendirian ketika bertugas sebagai guru.

Iklan

"Dalam kedua-dua peperiksaan ini saya lulus dengan cemerlang. Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai guru kerana ingin melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1976.

"Di UM, saya ambil bidang Pengajian Melayu dan Sejarah. Alhamdulillah berkat usaha dan kerja keras saya akhirnya mendapat ijazah kepujian kelas pertama,” ujarnya.

Muhammad mendedahkan bahawa bakat kepimpinan dan penglibatannya dalam arena politik bermula ketika zaman universiti dengan bergiat aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).

Menurutnya, beliau juga pernah menjadi Pengarah Program Kepimpinan Melayu Dari Mana Ke Mana pada 1978 dengan melakukan pelbagai program kepimpinan termasuklah menjemput tokoh-tokoh politik dan pemimpin negara ketika itu.

Muhammad ketika ditemu bual wartawan Sinar Ahad di kediamannya di Shah Alam kelmarin.

"Kita pernah panggil pemimpin dari Kelantan, di mana ketika itu Kelantan berdepan dengan kemelut politik dan memberi peluang kepada mereka umtuk memberi penerangan mengenai perkara itu kepada pelajar.

"PBMUM ketika itu sangat aktif dengan penganjuran aktiviti sebegini, malah kita turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya serta persatuan-persatuan lain dengan mengundang ramai pemimpin negara bukan sahaja dalam kalangan pemimpin kerajaan bahkan juga pihak pembangkang daripada pelbagai latar belakang termasuklah tokoh-tokoh sukan,” katanya.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, ketika itu ramai tokoh pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein pernah datang dan berucap di UM dengan memberi pendedahan kepada kalangan pelajar berhubung arena politik dan kepimpinan.

"Pada masa itu, pemimpin-pemimpin negara tidak banyak yang menimbulkan kontroversi berbanding sekarang sekali gus memudahkan pelajar berinteraksi dan menimba pengalaman daripada mereka.

"Selain menganjurkan program sebegini, kita di PBMUM juga aktif dalam mengadakan program turun padang dan masuk ke kampung-kampung untuk memberi pendedahan serta membina semangat dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan pelajaran terutamanya golongan muda,” kata beliau.

Selepas menamatkan pengajian di UM pada 1979 Muhammad mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.

Katanya, setahun selepas itu pihak Kementerian Pelajaran memaklumkan bahawa beliau berpeluang menyambung pengajiaan ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di Amerika Syarikat berdasarkan kejayaan cemerlang diperolehnya.

"Kemudiannya saya memaklumkan perkara itu kepada Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Suhaimi Kamaruddin yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO tetapi tidak dipersetujui oleh Suhaimi.

"Sebaliknya dia mahu saya bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1982. Maka saya tidak jadi untuk melanjutkan pengajian sebaliknya menjadi calon dan menang pilihan raya serta menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Batang Kali pada 22 April 1982,” kata beliau.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor mulai 14 Ogos 1986 hinggalah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada 14 April 1997.

Muhammad Taib (dua kiri) beramah mesra dengan penduduk di Perlis ketika menjawat jawatan selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Tan Sri Muhammad Muhammad Taib

Umur: 75 tahun (29 Julai 1945)

Asal: Kampung Sungai Manggis, Kuala Kalumpang, Hulu Selangor

Anak: 11 orang, 15 cucu

Isteri: Puan Sri Asbi Rohani Asnan

Jawatan pernah disandang:

Menteri Besar Selangor ke-11 (1982-1997)

Naib Presiden UMNO (1993-2009)

Ketua Penerangan UMNO (Mac 2008-April 2009)

Senator Dewan Negara (2006-2009)

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (18 Mac 2008-9 April 2009)