BAGAN SERAI - Ketidakpuasan hati rakyat negara ini terhadap perangai segelintir pemimpin PH yang acap kali berlagak samseng dan sombong menjadi antara faktor utama kekalahan calon PH pada PRK Parlimen Cameron Highlands semalam.
Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat, selain berasa jijik terhadap sikap angkuh dan lagak sombong sebilangan pemimpin PH, rata-rata pengundi PRK Parlimen Cameron Highlands ditemui turut menyatakan kekesalan mengundi PH kerana gagal menunaikan banyak janji PRU14.
Menurutnya, senario itu dapat dilihat apabila majoriti undi dari saluran pengundi muda sudah beralih menyokong calon BN, sekali gus membuktikan golongan itu kesal menyokong PH dan mula beralih mengundi BN.
"Sewaktu berkempen di Cameron Highlands, majoriti pengundi kami temui menyatakan rasa meluat dengan sikap segelintir pemimpin PH yang sering menunjukkan lagak samseng dan sombong selain sering bersikap ‘U turn’ dalam membuat sesuatu keputusan penting.
"Namun begitu, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada jentera Pas yang bertungkus-lumus membantu kemenangan calon BN sehingga memastikan 90 peratus undi penyokong mereka memihak kepada BN,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Sham yang juga Adun Alor Pongsu berkata, berdasarkan situasi semasa, pihaknya yakin momentum kemenangan BN akan berterusan di PRK Dun Semenyih dan Dun Rantau meskipun campuran kesemua undi memihak kepada Pas dan BN pada PRU14 tidak cukup untuk menentukan kemenangan.
Menurutnya, BN berharap kesedaran pengundi muda terhadap kegagalan pentadbiran kerajaan PH akan membantu kemenangan BN dengan mengalih undi kepada calon BN dipilih kelak.
"Saya turut bersetuju dengan saranan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang menyatakan sudah sampai masanya Umno dan Pas menjalinkan ikatan kerjasama politik secara lebih formal.
"Cuma Umno mungkin perlu mengadakan perbincangan lanjut dengan parti-parti komponen dalam BN bagi memberi penjelasan lanjut terhadap mekanisme kaedah kerjasama dimeterai dengan Pas,” katanya.
Sham berkata, inisiatif mewujudkan kerjasama politik antara Pas dan Umno sebenarnya sudah dimulakan secara tidak langsung di peringkat bahagian dan negeri dengan Parlimen Bagan Serai dijangka menjadi pelopor utama pemeteraian kerjasama politik dua parti itu di Perak.
Menurutnya, kerjasama dua parti itu kini semakin erat sehinggakan terbentuk satu grup laman sosial WhatsApp melibatkan pemimpin utama kedua-dua parti bagi membincangkan strategi terbaik menghadapi PRU15.
"Ditambah dengan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria sendiri ialah Adun Gunong Semanggol dan bersedia menjadikan Parlimen Bagan Serai sebagai kawasan perintis kerjasama antara Pas dan Umno menjadi realiti di Perak.
"Saya berharap kerjasama politik lebih formal ini akan membawa kejayaan dan manfaat lebih besar kepada orang Melayu dan umat Islam di negara ini,” katanya.