SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang ditubuhkan pada 12 April 1973 berperanan menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial di wilayah Ketengah meliputi daerah Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.
Sejak ditubuhkan, Ketengah terus mengorak langkah melaksanakan pelbagai program pembangunan luar bandar bagi membasmi kemiskinan, meningkatkan hasil pendapatan dan menyusun semula masyarakat melalui penyediaan kemudahan-kemudahan asas, sosial dan pembangunan ekonomi.
Menginjak usia 47 tahun, Ketengah yang menjadi peneraju pembangunan wilayah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) terus bergerak seiring dengan pembangunan negara berteraskan program strategik bagi merealisasikan matlamat melahirkan wilayah Ketengah yang maju dengan masyarakat lebih berdaya saing.
Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata, selaku Pengerusi baharu lembaga itu, beliau mempunyai hasrat tersendiri dalam memperkasakan lagi peranan agensi tersebut.
Beliau akan cuba menggerakkan Ketengah ke satu arah yang lebih cemerlang termasuk menggerakkan seluruh anggota ahli lembaga pengarah syarikat yang terdiri daripada 12 anak syarikat Ketengah untuk memastikan penjanaan pendapatan dan pulangan pelaburan di samping aspek pengurusan yang berjalan seperti biasa.
"Dalam proses tersebut, kita menghadapi halangan dalam melaksanakannya tapi saya nampak keluarga besar Ketengah dapat membantu saya untuk bersama-sama mengharungi laluan sukar ini.
"Ini bagi meneruskan agenda dalam beberapa industri yang diterokai Ketengah seperti pelancongan, pengkuarian dan perladangan. Beberapa syarikat kita juga terlibat dalam industri perumahan,” katanya ketika ditemu bual Sinar Harian baru-baru ini.
Festival Kenyir
Razali berkata, selain itu beliau sedang merancang untuk memperluaskan lagi wilayah Ketengah dari pedalaman Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu ke pedalaman Marang, Kuala Nerus, Setiu dan Besut.
Menurutnya, perbincangan mengenai perkara itu berjalan dengan baik dan pihaknya akan menyerahkan kajian kepada wakil rakyat negeri untuk diberi perhatian dan berharap ia dapat direalisasikan pada tahun 2021.
Razali berkata, Ketengah adalah kawasan pedalaman dan terkenal dengan pelancongan aqua-eco serta pelancongan sukan. Malah, setiap tahun sebelum ini, Ketengah akan menjayakan Festival Kenyir dengan kerjasama kerajaan negeri.
Beliau berkata, pihaknya sedang menambah nilai Festival Kenyir yang biasanya dijalankan dengan satu acara dalam setahun kepada Tahun Melawat Kenyir 2021 (TMK2021) bersama pengisian yang lebih mantap.
Menurutnya, pengisian program TMK2021 ini diolah sehingga 12 bulan bermula Januari 2021. Ini bermakna setiap bulan akan terdapat acara tertentu yang diaturkan oleh Ketengah dan kerajaan negeri.
"Jika penganjuran ini berjaya, kita akan mengadakan TMK2021 ini setiap dua tahun sekali.
"Inisiatif ini kita ambil susulan impak pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara dan seluruh dunia serta menjejaskan industri pelancongan sehingga kerugian RM19.2 bilion bagi tempoh tiga bulan (Mac hingga Mei 2020).
"Kita juga memikirkan sebenarnya di Ketengah ini, kita bukan sahaja ada Tasik Kenyir tapi ada sejarah perlombongan di Bukit Besi.
"Bandar baharu bersejarah Bukit Besi merupakan kawasan lombong bijih besi pada suatu ketika dahulu dan produk peninggalan sejarahnya berada di Bukit Besi,” katanya.
Selain itu, katanya, Ketengah juga mempunyai lokasi menarik seperti Lata Keling, Air Terjun Chemerong serta terdapat pokok cengal terbesar di Asia Tenggara yang berpotensi untuk diketengahkan.
Razali berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan beberapa kementerian lain. Sebagai langkah pertama, mereka mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan susulan menerima maklumat bahawa ikan di Tasik Kenyir semakin berkurangan.
"Susulan itu, kita berbincang dengan pengarah perikanan dan kementerian tersebut untuk meminta pelepasan sejuta ekor pelbagai anak ikan pada setiap tahun.
"Kita akan laksanakan aktiviti pelepasan anak ikan ini bermula Januari tahun depan. Anak-anak ikan ini dijangka membesar selepas sembilan bulan dan sudah boleh dipancing,” katanya.
Program pelepasan benih ini bertujuan bagi meningkatkan kapasiti dan spesies stok ikan air tawar agar menjadi tarikan kepada pengunjung terutama aktiviti memancing.
Dijangka jumlah kedatangan pengunjung ke Tasik Kenyir meningkat sebanyak 20 peratus. Secara tidak langsung, ia dapat membuka ruang dan peluang kepada usahawan di sekitar Tasik Kenyir meningkatkan pendapatan.