Astro siar liputan saingan EPL musim 2020/2021 paling komprehensif

Iklan
Astro bakal menayangkan kesemua 380 aksi EPL secara langsung di kaca televisyen dan Astro GO.

ASTRO sekali lagi bakal menyajikan liputan komprehensif kepada seluruh peminat sukan di Malaysia khususnya penyokong bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menjelang musim baharu 2020/2021 yang bakal membuka tirai pada 12 September ini, Astro selaku syarikat penyiaran rasmi EPL di Malaysia akan membawa seluruh peminat menyaksikan kesemua 380 aksi secara langsung di kaca televisyen dan aplikasi Astro GO.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TV dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, pihaknya amat teruja untuk menyajikan para peminat dengan acara sukan terbesar di dunia seperti saingan EPL.

"Peminat sukan di Malaysia kini boleh mengalami setiap detik penting serta drama dalam EPL yang dijadualkan bermula 12 September ini dengan melanggan Pek Sukan Astro.

Iklan

"Selain liputan komprehensif, Astro turut membawa tontonan bola sepak ke tahap lebih tinggi dengan Ultra Box dan Jalur Lebar yang menawarkan siaran perlawanan secara langsung dalam 4K UHD yang tiada tandingannya.

"Kini pelanggan tidak akan lagi ketinggalan untuk menonton siaran langsung dengan aplikasi Astro GO dan strim program EPL secara eksklusif secara on demand pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada,” katanya pada sidang media di Subang Jaya, Selangor Khamis lalu.

Iklan

Menurutnya, Astro akan turut menyajikan pelanggan dengan acara sukan global terbesar seperti saingan La Liga, Ligue 1, Serie A serta acara-acara sukan lain termasuk Formula 1, MotoGP, UFC, NBA dan banyak lagi.

"Kami sedar bahawa ketika mengharungi situasi global terkini, adalah penting buat kami di Astro untuk terus berusaha mencari kaedah baharu agar dapat kekal berhubung dengan pelanggan dan peminat sukan secara maya.

"Kami lihat, terdapat ruang dalam segmen pembangunan sukan, justeru kami berusaha untuk memacu pendapatan dan nilai di ruangan-ruangan digital ini dengan memperhebatkan inisiatif-inisiatif baharu,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, CK Lee, berkata, Astro sentiasa mencari kaedah baharu buat para peminat bagi menyokong minat mereka untuk bersukan dan terlibat secara langsung bersama tokoh-tokoh sukan kegemaran masing-masing.

Beliau memberitahu, menerusi platform digital, Astro turut menawarkan pengalaman yang tidak dapat dibeli dengan wang seperti ‘Meet & Greet’ secara maya bersama pemain bola sepak dan penganalisis terkemuka EPL serta pengacara Astro Super Sport.

"Selain berpeluang untuk memenangi barangan eksklusif, peminat sukan juga akan mendapat informasi sukan terkini di Astro dengan mengikuti perkembangan EPL dan acara sukan.

"Ia merangkumi 500 jam program sokongan seperti Fanzone, The Kelly & Wrighty Show, Premier League Daily, program praperlawanan, analisis selepas perlawanan, sorotan perlawanan, berita dan temu bual terkini di Stadium Astro,” jelasnya.

Dalam pada itu, Liga Perdana dengan kerjasama Astro akan melancarkan kempen anti-cetak rompak yang pertama - Boot Out Piracy minggu depan.

Kempen pengiklanan yang dijalankan di seluruh platform digital itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kualiti tontonan yang telah dikompromi serta risiko yang bakal dihadapi peminat.

Ia ketika menonton perlawanan EPL menerusi platform-platform yang distrim secara tidak sah dan menyalahi undang-undang seperti malware dan ransomware yang mana sering menyebabkan kecurian dan penipuan data.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pek Sukan Astro, layari https://promotions.astro.com.my/details/getsports