'Usul khas tuntutan Filipina perlu dibahas segera'

Iklan
Dewan Negara

SHAH ALAM - Senator Adrian Lasimbang mencadangkan agar Dewan Negara dapat menangguhkan majlis mesyuarat bagi membahaskan usul khas berhubung isu tuntutan Filipina terhadap Sabah apabila dewan itu kembali bersidang esok.

Menurutnya, penangguhan itu mengikut peraturan mesyuarat 17(1) bagi membahaskan berkenaan tuntutan Filipina terhadap Sabah baru-baru ini melalui pengeluaran satu peta yang menyatakan bahawa Sabah merupakan sebahagian daripada wilayah Filipina.

Iklan
Iklan

"Ini adalah satu tindakan provokatif yang menggugat dan mencabar kedaulatan Negara Malaysia dan Kedaulatan Negeri Sabah yang berada dalam Persekutuan Malaysia.

"Usul ini satu perkara yang mustahak bagi kedaulatan negara dan satu pelanggaran terhadap kerjasama serantau melalui ASEAN serta melanggar perjanjian-perjanjian di peringkat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian melalui pemberitahuan bersurat bertarikh 4 September lalu kepada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Dalam pada itu, Adrian berkata, usul itu perlu disegerakan kerana sebarang tindakan yang mempersoal kedaulatan Negara Malaysia adalah satu isu keselamatan dan tidak boleh diambil ringan.

Iklan

Katanya, tuntutan Filipina terhadap Sabah telah menggugat ketenteraman dan menimbulkan kerisauan terhadap keselamatan dalam kalangan rakyat negeri itu apatah lagi kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara tersebut cukup ramai di Sabah.

"Jadi usul ini juga melibatkan kepentingan ramai kerana ia melibatkan persempadanan negara, penguatkuasaan undang-undang maritim dan imigresen.

"Malaysia sebuah negara yang mengamalkan prinsip non-confrontational dalam menangani isu diplomatik perlu membuat tindakan yang proaktif dan memerlukan tindakan pantas dari kerajaan melalui Wisma Putra untuk menangani masalah ini,” katanya.