KUALA LUMPUR - Pandemik koronavirus (Covid-19) telah mempercepatkan keperluan inovasi baharu bagi memastikan proses dan operasi kerajaan yang lancar ketika krisis.
Pengarah Urusan IBM Malaysia, Catherine Lian berkata, teknologi baharu seperti pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kognitif, kesemuanya dilihat sebagai ‘game changer’.
Beliau berkata, teknologi tersebut telah menjadi perniagaan penting daripada sekadar teknologi untuk diguna pakai, dan oleh itu tidak lagi dianggap sebagai pelaburan penjimatan kos sahaja, tetapi pemacu inovasi perniagaan.
Teknologi seperti AI, pengkomputeran awan, lejer digital terbuka dan Internet Pelbagai Perkara (IoT) telah mengubah cara organisasi beroperasi dan memberikan nilai, sekaligus meningkatkan kecekapan di seluruh organisasi.
"Teknologi seperti AI di sektor perkhidmatan awam dapat memberi kelegaan kepada penjawat awam daripada melakukan tugasan yang membosankan dan berulang-ulang, menjimatkan waktu bekerja dan meningkatkan pengalaman pelanggan untuk rakyat.
"Ini dapat membantu menilai tindak balas dengan lebih cepat dan membolehkan penjawat awam melakukan tugasan yang lebih kritikal dan meningkatkan kecekapan operasi," katanya kepada Bernama.
Catherine berkata, kerajaan telah mengambil peranan yang semakin penting ketika penularan Covid-19 tatkala rakyat mencari maklumat yang dipercayai oleh agensi kerajaan untuk keselamatan, kesejahteraan dan lain-lain untuk menyokong dan memberi manfaat kepada diri mereka secara sosial, ekonomi dan emosi.
"Keutamaan kerajaan yang sedia ada sebelum berlakunya pandemik tersebut dalam memenuhi persekitaran yang mencabar termasuk harapan rakyat, penyampaian perkhidmatan inovatif kepada rakyat, belanjawan dan kecekapan perbelanjaan,” katanya.
Dengan transformasi digital yang meningkatkan kehidupan rakyat dalam hampir setiap urusan setiap hari - daripada membeli-belah secara e-dagang hingga perbankan digital, antara beberapa contoh, beliau berkata masyarakat mengharapkan tahap penglibatan yang sama daripada kerajaan.
Perkhidmatan asas kerajaan seperti kesihatan, cukai, perkhidmatan sosial, imigresen, tenaga kerja dan pengangkutan perlu diakses dengan cepat dan cekap, serta tersedia secara berkesan selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, sepanjang tahun.
Mengulas mengenai bagaimana kerajaan membantu pelanggan menangani kerumitan itu, Catherine berkata ‘Cloud’ (Teknologi Awan), AI dan Robotik adalah faktor utama untuk menghasilkan peningkatan produktiviti.
Untuk menjayakan revolusi industri keempat (Industri 4.0 atau IR 4.0), pendekatan mampan oleh kerajaan harus diambil untuk memastikan pertumbuhan ekonomi digital yang berterusan di Malaysia.
"Kami sangat yakin, ketika negara ini bergerak maju dan menghadapi tempoh pasca-Covid-19, kerajaan akan mencari cara untuk menggunakan sepenuhnya sistem sokongan berasaskan awan bersama dengan strategi kerja secara jarak jauh mereka. Dengan teknologi, penyelesaian dan amalan terbaik yang tepat, mereka dapat memastikan kelangsungan operasi perniagaan mereka,” katanya.
Di Malaysia, transformasi digital telah lama dibincangkan di semua sektor industri.
Hari ini dengan situasi semasa, perniagaan daripada pelbagai industri perlu mengubah cara mereka beroperasi dan melakukan sesuatu, dan IBM Malaysia melihat banyak peluang untuk perkongsian baharu dan cara kerja baharu.
Penyelesaian yang tepat dapat membantu organisasi mengharungi ketidakpastian, menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah dan berdaya tahan, katanya.
Setakat ini, IBM Malaysia telah menyaksikan Malaysia terus berusaha untuk mencapai empat objektif utama dalam memacu ekonomi digital dan mencapai Industri 4.0 dengan memanfaatkan AI.
"Ia termasuk merangka dasar untuk tenaga kerja dalam ekonomi; mewujudkan pekerjaan di sektor baharu yang memanfaatkan teknologi baharu; membina ekosistem data untuk dimanfaatkan dan memupuk budaya inovasi; dan menyelesaikan masalah dengan bijak terhadap pekerja yang terjejas dengan menggunakan teknologi AI dan pengurangan risiko," katanya.
IBM Malaysia bekerjasama dengan agensi awam dan swasta seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Invest KL, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk menyokong objektif kerajaan bagi mempersiapkan perniagaan Malaysia dalam menghadapi cabaran dan peluang yang wujud daripada liberalisasi perdagangan serta globalisasi.
"Kami telah menyokong kerajaan dan perniagaan di Malaysia, terutama dalam industri kewangan, pembuatan, penjagaan kesihatan dan pendidikan dalam perjalanan transformasi mereka," katanya. - Bernama