MB Selangor nasihat semua pihak bertenang

Iklan
Amirudin Shari

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menasihatkan semua pihak bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sensitif berhubung serangan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman USJ 25 pagi ini.

Amirudin berkata, kerajaan negeri bersedia mengadakan pertemuan pihak kuil berhubung isu tersebut.

Namun menurutnya, kerajaan negeri terlebih dahulu menyerahkan hal tersebut kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

"Hal sebegini biar diberikan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat motif dan isu sebenar yang berlaku di tempat kejadian," katanya yang ditemui Sinar Harian di Lobi Dewan Negeri Selangor.

Beliau turut melahirkan perasaan sedih susulan kejadian rusuhan itu dan berharap tindakan tegas dapat dilakukan terhadap pihak yang bertanggungjawab mengadakan rusuhan.

"Saya mengecam sebarang tindakan biadab yang melampaui batas undang-undang sekaligus mencetuskan keresahan penduduk setempat dan rakyat negeri Selangor.

"Saya menggesa semua pihak agar bertenang serta tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang bersifat perkauman, kebencian dan menghasut," katanya.

Mengulas berhubung status tanah kuil itu katanya, penangguhan pemindahan kuil itu telah berlangsung selama satu tahun.

"Tanah itu diputuskan oleh mahkamah di bawah hak milik syarikat pemaju dan telah memberikan kelonggaran sehingga selepas Deepavali untuk mengosongkan kawasan.

"Malah tanah gantian penempatan kuil tersebut di tanah seluas 1.5 ekar telah diberikan," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Isu pindah kuil: Selisih faham punca gaduh]

Iklan
Iklan