MOT akan muktamadkan kawal selia kenderaan mikromobiliti

Iklan
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memuktamadkan penyediaan garis panduan kawal selia penggunaan kenderaan jenis mikromobiliti melalui Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang bakal dibentangkan di Dewan Negara untuk kelulusan pada bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, salah satu contoh kenderaan jenis mikromobiliti ini adalah berbentuk seakan basikal, tetapi bukan sebarang basikal kerana ianya merbahaya lebih-lebih lagi untuk digunakan di atas jalan raya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penggunaan kenderaan itu di atas jalan raya perlu dikawal sebelum berlakunya kemalangan bukan sahaja kepada penggunanya, tetapi juga pengguna jalan raya lain.

"Terdapat tiga perkara perlu dipandang serius iaitu isu keselamatan orang ramai kerana tiadanya perlindungan insurans; MOT akan mengawal selia jenis-jenis penggunaan kenderaan ini seperti mewajibkan pendaftaran dan mempunyai lesen memandu jika bersesuaian serta pengelasan jenis kenderaan di bawah kategori mikromobiliti.

Iklan

"Pengguna kenderaan kategori ini perlu ingat sekiranya berlaku kemalangan, pengguna lain terpaksa mengeluarkan duit sendiri atau membuat tuntutan insurans sendiri bagi tujuan membaiki kenderaan atau perlindungan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut menunjukkan rakaman video seorang pengguna kenderaan jenis mikromobiliti di jalan raya di Facebooknya malam tadi.

Ka Siong turut menegaskan setelah RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 diluluskan dan menjadi undang-undang kelak, MOT juga tidak menolak kemungkinan akan melarang penggunaan kenderaan kategori mikromobiliti daripada digunakan di atas jalan raya jika bersesuaian.

Iklan

Menurutnya, MOT berpendapat mana-mana kenderaan dari jenis apa sekalipun yang wajar dilesen dan didaftarkan akan diwajibkan berbuat demikian termasuk kenderaan jenis mikromobiliti.

"Mana-mana jenis (kenderaan) dari segi keselamatan tidak sesuai digunakan secara bercampuran di atas jalan raya akan dihalang daripada digunakan atas dasar keselamatan dan kepentingan pengguna jalan raya yang lain.

"Jadi diingatkan, sebarang penggunaan jalan raya tidak bertanggungjawab ini akan menimbulkan risiko keselamatan kepada semua pengguna jalan raya lain termasuk diri sendiri. Jadilah pengguna jalan raya yang bertanggungjawab," katanya.

Dewan Rakyat pada 26 Ogos lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang antara lain meminda hukuman pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Pindaan membabitkan 15 fasal utama dan menyentuh 13 seksyen Akta 333 yang dibentang oleh Ka Siong pada Julai lalu diluluskan tanpa pindaan menerusi undian suara di Dewan Rakyat.

Antara pindaan utama adalah ke atas hukuman sedia ada, membabitkan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu.