BUTTERWORTH - Tiga wanita ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan lumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka berusia antara 21 tahun hingga 32 tahun itu bekerja sebagai operator kilang serta peniaga ditahan dalam operasi yang diadakan bermula jam 11 malam.
Iklan
Iklan
Menurutnya, kesemua mereka yang menunggang motosikal jenis Yamaha RX-Z didapati menunggang secara melulu dan berbahaya.
"Mereka disyaki berlumba dari Plaza Tol Bagan Ajam ke arah jejambat Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) sebelum berpatah balik ke plaza tol arah Sungai Dua.
"Perlakuan mereka ini bukan membahayakan diri malah juga kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Noorzainy berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kesemua mereka bebas daripada pengaruh dadah.
Katanya, ketiga-tiga wanita itu direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.